‘Gag-order’: Tapi artikel Bloomberg masih disiar

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Artikel oleh Bloomberg dan Business Times Singapura berkait dakwaan pembukaan kasino di Forest City yang telah diterbitkan sejak beberapa minggu lalu, masih belum diturunkan sehingga ke hari ini.

- Advertisement -

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard berkata, perkara itu menjadi alasan pihak pembelaan menolak permohonan semakan pihak pendakwa berkaitan ‘gag order’ terhadap aktivis tersebut.

“Pada 30 April 2024, Che’gu Bard telahpun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk satu pertuduhan terkait di bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948, berkaitan penulisan dan kenyataan Che’gu Bard di Facebook mengenai isu kasino di Forest City.

“Dalam hantaran Facebook tersebut telah dipetik dua pautan. Satu daripada Bloomberg, yang satu lagi berkaitan dengan Business Times Singapura,” katanya turut memaklumkan pertuduhan telah dibacakan dan jaminan telahpun diberi dan dijelaskan.

Namun katanya, terdapat satu permohonan perintah larangan bersuara ataupun ‘gag order’ iaitu untuk melarang Che’gu Bard daripada mengeluarkan atau membuat kenyataan komentar berkaitan dengan kes sedang beliau hadapi khususnya isu kasino Forest City tersebut.

Jelas Rafique, permohonan tersebut ditolak Hakim Mahkamah Sesyen menyebabkan pihak Pendakwa Raya menulis di bawah Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah, iaitu satu semakan memohon Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengenepikan perintah tersebut dan memberikan ‘gag order’ terhadap Che’gu Bard dalam pertuduhan tersebut, hari ini.

“Hari ini kita telah hadir dan anda semua telah dengar hujahan-hujahan yang diberikan oleh pihak Pendakwa memohon ‘gag-order’ dikenakan dan saya hadir untuk membalas hujahan-hujahan tersebut,” ujarnya dalam sidang media selepas selesai prosiding semakan tersebut di Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini.

Tambah beliau, dalam prosiding tersebut, beliau telah berhujah bahawa adalah amat tidak adil untuk menekan dan memberhentikan suara seorang rakyat Malaysia daripada bertanyakan soalan dan juga mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Jelas Rafique lagi, ia selagi mana perkara tersebut masih berlegar-legar tanpa sebarang permohonan maaf daripada agensi berita asing tersebut di mana kandungan atau artikel dakwaan tersebut masih tersiar sejak ia diterbitkan dan tidak pernah diturunkan.

“Antara lainnya kita telah menyatakan kepada mahkamah yang mulia ini bahawasanya hingga hari ini isu kasino Forest City; penerbitan isu kasino Forest City; penerbitan mengenai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong;

“Penerbitan mengenai Anwar Ibrahim; penerbitan mengenai dua taikun judi yang dinamakan dalam cerita tersebut masih ada lagi. Sudah masuk minggu ketiga dah, masuk satu bulan dan masih ada lagi,” ujarnya.

Dalam prosiding yang berlangsung hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar menetapkan tarikh 20 Mei depan bagi keputusan perintah larangan bersuara terhadap Che’gu Bard berkaitan projek kasino di Forest City itu. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

- Advertisement -