Banyak tempat di Kelantan mulai hujan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemarau panjang yang melanda Kelantan sejak tiga bulan lepas semakin berakhir apabila banyak tempat mulai hujan.

- Advertisement -

Di Kota Bharu dua malam berturut-turut hujan biarpun sekejap dan suhu di sebelah pagi agak nyaman berbanding agak membahang sebelum ini terutamanya pada sebelah petang.

Malah hujan lebih kerap turun di kawasan hulu Kelantan sejak awal Syawal.

Sebelum ini ramai petani terutamanya pesawah risau kemarau panjang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air bagi mengairi sawah.

Berikutan itu kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera RM300,000 bagi membantu petani yang terjejas akibat kemarau bagi menyediakan pam berkuasa tinggi dan mendapat sumber air bawah tanah.

Sebelum ini kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyarankan orang ramai serta masjid mengadakan solat sunat Istisqa’ bagi memohon hujan.

Solat Istisqa’ merupakan amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW dan kaedah sama diikuti zaman Khulafa al Rasyidin sehingga hari ini.

Dalam pada itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan beberapa kawasan berhampiran pantai di Kelantan, Terengganu dan Johor akan mengalami hujan sebentar yang agak lebat.

Menurut Met Malaysia, ramalan tersebut dijangka berlaku pada lewat pagi yang turut merangkumi selatan Terengganu dan timur Pahang.

Menurutnya, keadaan tersebut dijangka beransur ke kawasan tengah Semenanjung Malaysia pada sebelah petang. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

- Advertisement -