Qari, qariah Kelantan 17 kali juarai tilawah al Quran 

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hasrat kerajaan negeri bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah memiliki bacaan, tilawah dan taranum yang baik akan menjadi kenyataan dengan adanya Pusat Taranum Kelantan.

- Advertisement -

Pusat itu akan menawarkan latihan secara komprehensif kepada bakat baru bidang berkenaan dikendalikan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM210,000 bagi memulakan operasi Pusat Taranum.

“Saya difahamkan terdapat dua kategori kursus ditawarkan iaitu kursus al Quran dan taranum. Antara ilmu diajar bagi  mengukuhkan ilmu tajwid fasohah dan suara yang betul.

“Serta taranum sesuai dengan format permarkahan Majlis Tilawah al Quran. Dengan bimbingan tenaga pengajar yang terdiri daripada bekas johan musabaqah peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Pusat Tarannum al-Quran Negeri Kelantan di Dewan Besar, Kompleks Balai Islam Lundang di sini, malam tadi.

Hadir sama Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud; Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamad dan Pengarah JAHEAIK, Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh.

Mohd Nassuruddin juga berkata, Kelantan antara negeri yang sentiasa melahirkan qari dan qariah serta hafiz dan hafizah mempunyai bacaan mantap dan berkualiti.

“Berdasarkan rekod, sepanjang panganjuran Musabaqah Al Quran peringkat kebangsan dan antarabangsa, qari dan qariah dari Kelantan merangkul gelaran johan sebanyak 17 kali sejak kali pertama dianjurkan pada tahun 1961.

“Menariknya johan qari pada tahun pertama penganjuran majlis tilawah tersebut ialah dari Kelantan iaitu Haji Ahmad Matsom atau dikenali sebagai Ahmad Matsom Pergau,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2024

- Advertisement -