
KOTA BHARU: Pasar Awam Bersepadu Wakaf Che Yeh mempunyai keunikan tersendiri kerana beroperasi dalam tempoh 24 jam sehari.
Pada waktu pagi berperanan sebagai pasar basah, petang sehingga malam dijadikan tapak pasar malam dan pasar borong awal pagi sehingga Subuh.
Anggota Exco kerajaan negeri Hilmi Abdullah berkata, pasar awam itu dibina pada tahun 1998 setelah berpindah daripada tapak asal yang dikenali sebagai Pasar Borong Basah Jalan Hamzah.
Katanya pasar itu dibina di kawasan seluas 5.6 ekar terkenal dalam kalangan pelancong yang berkunjung di Kelantan.
“Sehingga kini Wakaf Che Yeh masih digemari orang ramai termasuk pelancong kerana aktiviti perniagaan sentiasa hidup,” katanya ketika ditemui pada program gotong royong di pasar berkenaan hari ini. (Foto atas)
Seramai 300 sukarelawan menyertai gotong royong tersebut. Antaranya kakitangan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Selain itu anggota RELA, pelajar UiTM, Kolej Polytech MARA, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), USM, Syarikat BUJ dan XCFU Zone. Turut serta anggota tentera dari 8 Briged.
Hilmi juga berkata, akibat banjir besar pada 2014 menyebabkan beberapa bangunan menjadi usang berikutan berlaku banyak kerosakan.
Katanya juga kemunculan pasar-pasar malam baru dan uptown di sekitar Kota Bharu menyebabkan Pasar Malam Wakaf Che Yeh kurang mendapat sambutan.
“Pasar ini perlu dibaiki dan dibaik pulih dengan dilengkapi sistem pencahayaan bagi menarik lebih ramai pengunjung pada waktu malam,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!