
KOTA BHARU: Kelab Sukan dan Kebajikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) muncul juara dalam pertandingan Tenpin Boling Mahabbah NGO Kelantan 2024 dengan mengumpul mata 1405.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Surau Al Fateh dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh.
NGO lain yang menyertai pertandingan tenpin boling tersebut termasuk Jaringan Amal Kelantan, Third Force, Yayasan Amal Malaysia dan ARC Kelantan.
Program berkenaan diadakan di Lite Superbowl JB 7, Mydin Mall Tunjong dan dirasmikan Timbalan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan Negeri (U-BeS), Mohd Firdaus Mohamed Nawi.
Firdaus ketika ditemui berkata, pertandingan tersebut disertai sebanyak 37 pasukan Sahabat NGO Kelantan.
Menurutnya, pertandingan itu dianjur bertujuan untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain khususnya dalam kalangan NGO.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada NGO kerana sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri khususnya penganjuran program membabitkan anak-anak muda.
“Jalinan kerjasama dengan NGO akan terus diperkasa bagi mewujudkan kerjasama lebih berkesan pada masa akan datang,” katanya di sini.
Menurutnya juga U-BeS akan mengadakan lebih banyak lagi program membabitkan NGO dan anak-anak muda. – HARAKAHDAILY 15/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!