
KANGAR: “Tiada apa (hendak disembunyikan), kita (Kerajaan Negeri Perlis) terbuka kalau ada (kes) mai (datanglah) siasat,” demikian kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Ia susulan khabar angin kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan penahanan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis dalam masa terdekat.
Mohd Shukri turut menafikan kemungkinan ada unsur sabotaj kepada kerajaan pimpinan beliau bersama Perikatan Nasional (PN) dan jika ada sekalipun, mereka itu serunya perlu bertaubat sebagai seorang Islam.
“Saya pun tak tau (tidak tahu), kalau ada unsur sabotaj saya ingat kalau dia seorang Islam kena (perlu) bertaubat, dia menyusahkan saya dan pasukan untuk bekerja membangunkan negeri.
“Di mana-mana saja boleh berlaku perkara ini, pengurusan kerajaan negeri tidak terganggu disebabkan isu ini sebab ia melibatkan siasatan saja,” katanya pada sidang media di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Pejabat Menteri Besar terdahulu turut menerima kunjungan hormat Pengarah SPRM Perlis, Mohd Adha Ab Ghani di Pejabat Menteri Besar Isnin pada 13 Mei kelmarin.
Menjawab pertanyaan media berkaitan Unit Intergriti yang bakal diwujudkan di pejabatnya itu, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut sedang diperhalusi dengan lebih teliti.
“Garis panduan sudah ada, cuma keperluan di negeri ini kita akan bincang lebih teliti lagi. InsyaAllah tengok dari hasil perbincangan, bagi saya amat positif,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!