KIAS naik taraf capaian internet di kampus Nilam Puri

Prof Emeritus Dr Ab Aziz Mohd Zin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) berusaha menaik taraf perkhidmatan rangkaian internet di kampus di Nilam Puri.

- Advertisement -

Rektor KIAS, Prof Emeritus Dr Ab Aziz Mohd Zin berkata, saiz kampus KIAS bertambah setelah dinaik taraf kepada Kolej Universiti pada 22 Mac 2021.

Katanya, bangunan yang pernah digunakan Yayasan Islam Kelantan (YIK) Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya di Nilam Puri diambil alih oleh KIAS. 

“Susulan pertambahan saiz kampus maka penaiktarafan perkhidmatan jalur lebar di seluruh kawasan kampus diperlukan.

“Kerja-kerja menaik taraf tersebut mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat,” katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Induk (MSA) dengan TM Teknology Services Sdn Bhd, kelmarin.

Perjanjian perkhidmatan induk itu ditandatangani Dr Ab Aziz dan Naib Presiden Jualan Perusahaan TM One Nora’zam Jaafar.

Kerjasama berkenaan bertujuan untuk menaik taraf perkhidmatan rangkaian jalur lebar serta perlaksanaan perkhidmatan Wifi bagi menambah baik pembelajaran dan pengurusan digital di kampus KIAS.

Melalui kerjasama itu seluruh komuniti KIAS dapat menikmati kemudahan capaian internet lebih meluas dan stabil dengan penggunaan fibre optik berkelajuan 900 Mbps di kampus 1 dan kampus 2.

Kelajuan keseluruhan sebanyak 1.8 Gbps akan beroperasi selama tempoh tiga tahun bermula 2023 sehingga 2026.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, pihaknya teruja untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama dalam membentuk keupayaan digital di KIAS.

Menurutnya, kerjasama itu berpotensi untuk meningkatkan pengalaman pengurusan KIAS dalam memperkukuh kemampuan digital institusi serta memanfaatkan pengajaran, pembelajaran, pentadbiran, penyelidikan dan perkhidmatan pelajar.

“Kami juga berharap dengan kerjasama ini dapat melahirkan mahasiswa yang berkualiti, mewujudkan suasana kampus efisien serta pengurusan lebih mampan bagi memenuhi aspirasi penubuhan KIAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2024

- Advertisement -