Kerja selenggara LRA SSP1 bermula Jun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan bermula jam 9 pagi sehingga 7 malam, 5 Jun 2024.

Pelaksanaan kerja-kerja ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual sementara di Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor. 

Notis pemakluman itu dikongsi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi media sosial milik mereka pada 13 Mei 2024

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

- Advertisement -

“Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 20% pada jam 3 petang, 6 Jun 2024 (Khamis) diikuti dengan 90% pada jam 3 pagi, 7 Jun 2024 (Jumaat).”  

“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 12 tengah hari, 7 Jun 2024 (Jumaat). Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual adalah seperti di lampiran,” tambah kenyataan itu.

Sejajar dengan itu, Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. 

Justeru, Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.”

“Pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat),” katanya. 

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari www.airselangor.com. – HARAKAHDAILY 15/5/2024

- Advertisement -