Hari ini, genap 76 tahun ‘bencana’ Palestin angkara Zionis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tarikh hari ini, 15 Mei 2024 genap 76 tahun perpindahan besar-besaran rakyat Palestin yang dikenali sebagai ‘Nakbah’ atau ‘Bencana’ angkara kejahatan dan kekejaman Zionis Israel yang mula tercetus pada 15 Mei 1948.

Ameerah Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Nakbah ialah peristiwa bencana pencerobohan Zionis ke atas Palestin yang mengakibatkan tertubuhnya negara haram Israel.

- Advertisement -

Hal demikan yang menjadi satu titik hitam yang perlu diingati oleh seluruh umat Islam sedunia sebagai tanda solidariti kepada saudara seagama.

“Hari Nakbah merupakan hari di mana negara haram Israel diisytiharkan secara rasminya selepas mereka mendakwa telah memenangi peperangan yang pada hakikatnya hanyalah merampas negara Palestin.

“Pada ketika ini, ratusan ribu penduduk Palestin diarah untuk berpindah hanya untuk menyelamatkan diri. 

“Episod kejam ini juga menyaksikan ribuan nyawa terkorban, rumah-rumah dirobohkan, harta rakyat dirampas, kenderaan awam dimusnahkan, serta pelbagai lagi kekejaman yang terbukti meragut hak asasi sebagai rakyat di bumi sendiri,” katanya.

Tambahnya, orang ramai disarankan untuk terus memboikot barangan dan produk yang menyokong serta dikesan menyalurkan dana kepada Israel susulan kekejaman melampau rejim zionis itu terhadap rakyat Palestin.

“All Eyes on Rafah (semua perhatian pada Rafah). Boikot barangan Israel bukan tidak boleh menghentikan serangan secara terus, namun ia melambangkan kebencian kamu Zionis Israel.

“Sebagai manusia yang masih mempunyai hati, akal dan fikiran, bertindaklah mengikut kemampuan sebagai tanda sokongan terhadap saudara kita di Palestin,” ujar kenyataan tersebut.

Dalam masa yang sama, negara juga perlu bertindak lebih pantas dan mengambil langkah yang besar seperti semangat rakyat dalam menjalankan kempen Palestin.

“Sudah semestinya Malaysia menolak kekejaman Israel secara keseluruhan. Ambil tindakan yang cermat untuk tidak terlibat bersama ‘mereka’ selagi peperangan ini tidak dihentikan.

“Mari sama-sama kita menadah tangan memohon kemenangan, keselamatan dan keadilan buat Palestin. Amin ya rabbal a’lamin,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 15/5/2024

- Advertisement -