45 pesawat tentera China dikesan di Taiwan dalam sehari

Sebanyak 45 pesawat tentera China dikesan berada di sekitar Taiwan beberapa sebelum pelantikan Presiden baharu negara itu. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

TAIPEI: Taiwan memaklumkan pihaknya telah mengesan sebanyak 45 buah pesawat tentera China di sekitar negaranya pada Rabu, jumlah paling banyak dalam sehari yang dicatatkan setakat tahun ini.

Insiden berkenaan berlaku kurang seminggu sebelum negara kepulauan itu secara rasmi melantik Presiden baharu, Lai Ching-te yang mana China menganggapnya sebagai ‘pemisah berbahaya’. 

- Advertisement -

Beijing telah memberi amaran bahawa Ching-te, yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Taiwan pada 20 Mei ini bakal mencetuskan peperangan dan kehancuran kepada Taiwan, dan ketegangan antara kedua-dua buah negara berkenaan telah bermula sejak beliau memenangi pilihan raya Presiden pada Januari lepas. 

Ching-te, sama seperti Presiden Taiwan sekarang, Tsai Ing-wen, menolak tuntutan Beijing terhadap negara berkenaan dan telah mendapat kecaman dari China yang turut menggelarkan dirinya dan timbalannya, Hsiao Bi-khim sebagai ‘duo kemerdekaan’, lapor AFP.

China sebelum ini telah berkali-kali mendakwa bahawa Taiwan merupakan sebahagian dari wilayah negaranya dan tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan kuasa ketenteraan bagi memastikan negara berkenaan berada di bawah kawalannya.

“Kami telah mengesan sebanyak 45 pesawat dan enam buah kapal tentera laut milik China yang beroperasi sekitar Taiwan dalam tempoh 24 jam lepas, sehingga 6 pagi Rabu waktu tempatan.

“26 buah pesawat telah melintasi garisan median di Selat Taiwan yang memisahkan antara Taiwan dan China,” lapor Kementerian Pertahanan Taiwan.

Tambah kenyataan itu, pihaknya sedang memantau rapat situasi berkenaan dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani perkara berkenaan. 

Terdahulu, kementerian berkenaan memaklumkan pihaknya telah mengesan sebanyak 23 buah pesawat China pada Selasa, termasuk pesawat pejuang dan dron yang telah dikesan sekitar Taiwan bagi tempoh dua jam. 

“Kami menggesa pihak China untuk menahan diri dan segera menghentikan kelakuan tidak rasional ini,” tambah kementerian terbabit. – HARAKAHDAILY 15/5/2024

- Advertisement -