Seiring tarbiyah dan gerak kerja capai AKIFI

- Advertisement -

TAMBUN: Muslimat PAS hendaklah menggerakkan program tarbiyah dan kemasyarakatan secara seiring bagi memastikan mereka menjadi golongan alim, haraki dan sufi (AKIFI), demikian seru Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Salleh Said.

- Advertisement -

Beliau menitipkan pesanan itu ketika menyampaikan ucapan semasa hadir meraikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Tambun Kali Ke-37 di Pusat Tarbiyah PAS Meru, di sini kelmarin.

Jelas beliau dalam ucapannya itu, melalui kuliah tafaqquh dan program dalaman yang lain, Muslimat PAS telah mendapat pendedahan bagi mengikat kefahaman sedia ada untuk terus melibatkan diri dalam gerak kerja PAS.

“Dari ilmu yang (sudah) dapat itu, maka perlu diaplikasikan. Ia umpama mengasah parang. Bila dah tajam bagaimana kita nak gunakan parang tersebut untuk menetak lalang di belakang rumah? Kita tak mahu hanya mengasah parang ataupun menetak lalang tanpa menggunakan parang yang tajam.

“Ia menyebabkan semua kerja tidak berhasil. Sebab itu (saya) tekankan di sini, Muslimat wajib menghadiri program tarbiyah (kerana) ia memberi pencerahan terhadap isu semasa. Kita tidak mahu Muslimat bekerja dalam keadaan tidak tahu apa yang (sedang) dilakukan.

“(Ini kerana) semua yang kita nak buat ada fiqh(nya). Kita nak bernegara ada fiqh daulah, nak beribadah ada fiqh ibadah, nak bernikah ada fiqh munakahat, nak berdakwah ada fiqh dakwah. Makna kata mesti ada ilmu,” tegasnya.

Dalam pada itu terangnya juga, PAS hari ini memiliki pengaruh besar kerana merupakan parti yang berdisiplin tinggi dan wala’ terhadap arahan pimpinan, sekali gus menjadi tumpuan musuh untuk memberi serangan terhadap PAS.

Maka pesannya, ahli PAS khususnya kepimpinan di masa akan datang hendaklah memiliki ilmu untuk membaca gerakan musuh di samping sentiasa merancang program-program bagi mengukuhkan parti sebagai gerakan Islam.

“Islam yang kita perjuangkan bukan hanya (perlu) diangkat, malah perlu juga dipertahankan. Tidak boleh bergerak satu sisi sahaja,” pesannya pada seluruh perwakilan dan pemerhati mesyuarat tersebut. – HARAKAHDAILY 14/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!