KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli telah menerima kunjungan hormat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Perlis, semalam.
Pengarah SPRM Perlis, Mohd Adha Ab Ghani mengetuai kunjungan hormat tersebut bersama rombongan beliau pada pertemuan yang diadakan di Pejabat Menteri Besar, di sini.
Mohd Shukri memaklumkan, pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk pengurusan dan pentadbiran kerajaan.
“Alhamdulillah, saya menerima kunjungan hormat dari SPRM Perlis yang diketuai oleh Pengarah SPRM Perlis serta rombongan. Pelbagai perkara yang kami bincangkan terutamanya yang melibatkan pengurusan dan pentadbiran kerajaan.
“Juga topik kami berkisar bagaimana kaedah pencegahan salah laku yang terbaik melibatkan pengurusan kerja,” ujar beliau menerusi media sosialnya.
Menurut Mohd Shukri, pihak SPRM Perlis menyambut baik cadangan beliau bagi mewujudkan Unit Integriti (UI) sebagaimana diumumkannya baru-baru ini.
“Syukur juga pihak SPRM Perlis menerima baik cadangan saya untuk mewujudkan Unit Intergriti (UI) di dalam Pejabat Menteri Besar Perlis.
“Mereka insya-Allah akan memberi kerjasama yang sangat baik dalam memastikan pengurusan kerajaan negeri dapat diurus tadbir dengan lebih baik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!