KOTA BHARU: Peminat bola sepak di negeri ini berpeluang menyaksikan aksi Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini.
Lebih menarik lagi tiket bagi tempat duduk terbuka dijual pada harga RM10 bagi aksi Liga Super 2024/25.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, harga asal tiket untuk tempat duduk terbuka ialah RM15 seperti diumumkan sebelum ini.
“Pada perlawanan sulung baru-baru ini, kami lihat ramai penyokong yang bertandang ke arena lawan di Pahang. Ini menunjukkan sokongan padu peminat dan penyokong bola sepak kepada KDN FC.
“Sebagai tanda penghargaan, rasa terima kasih kami mahu penyokong membanjiri stadium pada pertemuan dengan Sabah FC dan kami bersetuju menurunkan harga tiket tempat duduk terbuka,” katanya di sini.
Menurutnya KDN FC berharap peminat dan penyokong di Kelantan hadir beramai-ramai bagi memberi sokongan kepada pemain dalam misi memburu tiga mata pertama.
Tambah beliau jualan tiket perlawanan akan dibuka jam 12 tengah hari pada Khamis di Kedai Merchandise KDN FC di Stadium Sultan Muhammad IV.
“Jualan tiket tersebut akan diteruskan pada hari perlawanan iaitu Jumaat bermula dari 9 pagi hingga jam 9.30 malam di kaunter stadium,” katanya.
Pada aksi sulung musim ini 11 Mei lepas KDN FC tewas kepada Sri Pahang 0-1 di Stadium Temerloh. – HARAKAHDAILY 14/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!