SUNGAI PETANI: Seminar Penggubalan Undang-Undang dan Pembangunan Wanita Luar Bandar telah dianjurkan khusus dalam mendedahkan peserta kepada selok belok tugasan sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan Negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, seminar itu juga memberi peluang kepada peserta menimba pengetahuan dari mereka yang berpengalaman.
“Penglibatan Ahli Majlis dalam seminar juga kepada tugas sebagai pemudahcara untuk mereka bagaimana kaedah untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat di bawah melalui bidang tugas yang diberikan.
“Selain memberi pendedahan berkenaan beberapa undang-undang berkaitan PBT yang berkait rapat dengan bidang tugas selaku Ahli Majlis,” kata beliau memaklumkan seminar juga memberi peluang para peserta bertukar pandangan serta pendapat sesama mereka.
Seminar Penggubalan Undang-Undang dan Pembangunan Wanita Luar Bandar ini melibatkan Ahli Majlis wanita dari kerajaan empat negeri (SG4) iaitu Kedah Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen wanita turut serta dalam seminar selama dua hari yang diadakan di Jerai Hotel, di sini dan berakhir semalam.
Menurut Siti Ashah, beliau mengharapkan pemegang jawatan selepas ini dapat memainkan peranan sebaiknya mendepani masalah yang berbangkit di PBT masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria telah menyempurnakan perasmian, manakala majlis penutupan oleh mantan Ahli Dewan Negara, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Dalam pada itu, peserta juga berpeluang mendengar perkongsian tiga ahli panel iaitu Ahli Majlis Daerah Kangar, Husna Hashim dan Ahli Majlis Daerah Dungun, Serena Lim Abdullah serta Ahli Majlis Daerah Langkawi, Azlina Azinan. – HARAKAHDAILY 14/5/2024