Syarikat penerbangan boleh tambah kekerapan ke LTSIP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Pengangkutan Malaysia menggalakkan syarikat penerbangan Malaysia dan asing menyediakan dan menambah kekerapan perkhidmatan penerbangan domestik dan antarabangsa ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, LTSIP sedia menerima lebih banyak syarikat penerbangan komersial untuk menyediakan penerbangan terus ke Kota Bharu.

- Advertisement -

Katanya, penambahan pelancong dalam dan luar negara dapat meningkatkan daya saing ekonomi, komersial dan pelancongan di Kelantan.

“Mana-mana syarikat penerbangan yang mahu menggadakan laluan baru termasuk Thailand dan Singapore perlu membuat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Pada masa ini, operasi penerbangan LTSIP hanya melibatkan penerbangan bagi laluan domestik iaitu Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching dengan 129 kali kekerapan penerbangan mingguan,” katanya pada perasmian Operasi Fasa 1 LTSIP hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Dato’ Dr Izani Husin.

LTSIP dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti terminal lapangan terbang daripada 1.5 juta kepada empat juta penumpang membabitkan kos lebih RM440 juta.

Kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang tersebut bagi fasa 1 siap sepenuhnya dan mulai beroperasi 1 Mei lepas.

Anthony Loke juga berkata, sebarang cadangan untuk menyedia dan menambah kekerapan jadual penerbangan bagi mana-mana laluan penerbangan termasuk laluan ke LTSIP merupakan perancangan yang ditentukan syarikat-syarikat penerbangan.

“Ia berdasarkan commercial viability sesuatu laluan dan tertakluk kepada kelulusan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam sebelum dapat dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!