Promosi kebudayaan Kelantan ke peringkat antarabangsa

- Advertisement -

TANAH MERAH: Kerajaan negeri komited mempromosikan program kesenian, kebudayaan, dan warisan Kelantan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Zameri Mat Nawang berkata, program tersebut diberi tumpuan terutamanya sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

- Advertisement -

Katanya, pelbagai acara menarik dirangka dan disusun kerajaan negeri bagi mempromosikan kesenian dan kebudayaan Kelantan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Begitu juga keindahan seni silat tradisional terus dipertahankan sehingga sekarang.

“Bagi memastikan seni tersebut terus dipertahankan pesilat-pesilat muda wajar terus memperjuang dan memajukan warisan budaya tempatan,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Seni Silat Jatuh, Hulubaley Bersenu Tanah Jawi 2024 di sini, semalam.

Hadir sama Adun Bukit Bunga Mohd Almidi Jaafar dan Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Jawi Kelantan Ahmad Basri Hashim.

Program itu diadakan selama dua hari bertempat di pekarangan Rumah Awi Kasturi, Kampung Jakar, Bukit Bunga.

Ia dianjurkan Pertubuhan Seni Silat Jawi Kelantan dengan kerjasama kerajaan negeri, Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah dan Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah.

Hampir 1,000 penduduk tempatan hadir pada program tersebut.

Zameri yang juga ADUN Jelawat berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan kekayaan budaya tempatan menjadi tarikan utama dalam industri pelancongan.

“Diharap nilai-nilai warisan budaya dan seni tradisional seperti seni silat jawi akan terus dipertahankan sehingga generasi akan datang,” ujarnya.

Sementara itu Ahmad Basri berkata, 12 regu persilatan dari seluruh jajahan mempersembahkan kemahiran mereka dalam seni silat jatuh pada program tersebut.

Menurutnya, program itu merupakan kali pertama dianjurkan pertubuhan tersebut bagi mengembangkan lagi seni silat jatuh di Kelantan. – HARAKAHDAILY 13/5/2024

- Advertisement -