KIAS pemangkin perkembangan Ilmu Islam di Nusantara

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan dengan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Princess of Naradhiwas University, Narathiwat Thailand.

- Advertisement -

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, ia  membabitkan program pertukaran pelajar antara kedua-dua belah pihak.

Katanya, hasrat itu direalisasikan melalui KIAS yang dijadikan sebagai pemangkin perkembangan Ilmu Islam di rantau ini.

“Kami berkongsi pengalaman terutamanya dalam bidang pendidikan Islam dan Bahasa Arab dan membincangkan ruang kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Hasil perbincangan dipersetujui diadakan program pertukaran pelajar antara universiti di Kelantan dan Narathiwat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Baru-baru ini Wan Roslan yang juga ADUN Pengkalan Kubor mengadakan lawatan rasmi ke selatan Thailand.

Hadir sama Ahli Parlimen Tumpat Dato’ Mumtaz Md Nawi; ADUN Kelaboran Adanan Hassan; ADUN Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah; Ketua Whip Majlis Daerah Tumpat, Sr Shalah Huddin Che Husin dan Ketua Pemuda Tumpat, Mohd Hushaimi Hussian.

Rombongan tersebut disambut Prof Madya Dr Anis Pattanapricha Wong bersama Timbalan Dekan, Prof Madya Dr Muhammad Umudee dan pimpinan tempatan, Kurosiha Prasrinawong. – HARAKAHDAILY 13/5/2024

- Advertisement -