Bas bawa pelancong Thailand dibenar masuk ke Malaysia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bas yang membawa pelancong dari Thailand dibenarkan masuk ke Malaysia dengan membuat permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, peraturan itu bukan sahaja terpakai di negeri-negeri di kawasan sempadan, namun ia melibatkan semua tempat termasuk Kuala Lumpur.

- Advertisement -

“Perkara itu diputuskan pada mesyuarat baru-baru ini. Mana-mana bas dari Thailand dibenarkan masuk dan mereka perlu membuat permohonan kepada APAD dan permit sementara akan dikeluarkan.

“Bagaimanapun, mana-mana bas dari Thailand perlu mengemukakan maklumat tertentu termasuk pakej pelancongan, bilangan penumpang serta lokasi penginapan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan fasa 1 projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin.

Pada Mac lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Kamaruddin Md Nor mengunjungi hormat Menteri Pengangkutan membincangkan kebenaran bas pelancong dari Thailand masuk ke Kelantan.

Bagaimanapun, Anthony Loke berkata, kerajaan hanya menyekat van dari Thailand kerana dibimbangi masuk ke Malaysia untuk mengambil penumpang sehingga menyebabkan industri pelancongan tempatan terjejas. – HARAKAHDAILY 13/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!