MASJID TANAH: Pengundi muda dilihat konsisten sehingga kini dalam memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) semenjak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 hinggalah kepada pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya kecil (PRK) selepas itu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman berkata, ia menuntut jentera pemuda khususnya Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah (DPPKMT) untuk menggiatkan usaha mendekati golongan itu.
“Hari ini sebenarnya PRK Kuala Kubu Baharu memberi banyak pengajaran kepada kita. Sudah tentu takdir Allah SWT itu mempunyai hikmah untuk kita mengambil pengajaran. Kita perlu melipatgandakan usaha terutama sekali kepada golongan pengundi muda.
“Ini kerana telah terbukti pada PRU yang lalu, pengundi-pengundi muda inilah yang membantu walaupun kita tahu pengundi-pengundi ini separuh adalah daripada ahli Umno. Peranan pengundi muda ini yang menjadikan sehingga kita mendapat kemenangan majoriti lebih 4,000 undi di Parlimen Masjid Tanah ini. Ia bukan mudah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah bagi tahun 2024 yang berlangsung di Markas PAS Kawasan Masjid Tanah, Jalan Hujan Panas, di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah menggesa agar jentera Pemuda terus bekerja keras mendekati golongan muda yang mempunyai cara berbeza berbanding dengan golongan dewasa.
“Kita kena mencari jalan bagaimana usaha-usaha berusaha agar anak-anak muda bersama kita. Kerana kebanyakan anak-anak muda ini mereka tidak berparti. Sebab itu kita susah nak mencari mereka.
“Tetapi mereka ini mengikuti perkembangan. Mereka akan melihat sejauh mana usaha-usaha kita bersama nak betulkan kerajaan terutama sekali Kerajaan Negeri Melaka,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tempoh tamat penggal bagi kerajaan negeri sudah tidak lama lagi.
“Untuk makluman kita di Melaka ini tempoh tamat penggal kerajaan ialah pada tahun 2026. Sekarang kita sudah setengah tahun 2024, menunjukkan kita tidak banyak masa. Kita tak perlu lagi berangan-angan tanpa kita melakukan tindakan-tindakan.
“Insya-Allah Perikatan Nasional akan melihat objektif untuk melihat usaha kita terutama sekali di Parlimen Masjid Tanah ini yang ada lima DUN ini macam mana kita nak tawan kesemua DUN ini,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan untuk menawan DUN-DUN di bawah Parlimen Masjid Tanah walaupun gagal memenangi walau satu kerusi pun pada PRN15 dengan melihat kepada kejayaan PN menawan kerusi parlimen tersebut pada PRU15 setahun kemudian dengan majoriti besar.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Amirul Fahdzil Zahar dalam ucapan alu-aluannya turut meminta agar ahli-ahli pemuda mengambil pengajaran terhadap keputusan PRK Kuala Kubu Baharu yang baru diumumkan.
“Maknanya kerja kita sebagai pemuda untuk menarik keluar pengundi Melayu dan mengundi Perikatan Nasional khususnya, masih banyak lagi kerja-kerja yang kita perlu lakukan,” ujar beliau.
Menurut beliau, ia adalah dari sudut mengingatkan dan mencerahkan segala aspek-aspek dan ilmu-ilmu, penerangan-penerangan yang perlu dilakukan jentera pemuda.
“Ini bergantung kepada kita punya tanggungjawab masing-masing. Bila balik dari mesyuarat nanti insya-Allah bersama kita pikul amanah ini untuk menjadikan Negeri Melaka pada hari yang bersejarah itu nanti akan menjadi milik penuh Perikatan Nasional,” ujarnya.
Antara jemputan khas yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Armada Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Muhd Majidul Ikhwan Md Jidin bersama beberapa orang Ahli Jawatankuasanya, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Abu Hashim Samad dan Naib Yang Dipertua, Azmi Sambul. – HARAKAHDAILY 12/5/2024