‘PRK KKB: Tak mahu lagi ADUN yang pentingkan diri sendiri’

Rohana Osman ketika hadir untuk mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor, pada hari ini, 11 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

HULU SELANGOR: “Kita nak orang yang betul-betul ikhlas membantu rakyat yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).”

Seorang bekas pekerja swasta, Rohana Othman, 63, berkata, terdapat ramai orang yang susah menetap di kawasan Batang Kali ini lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada ketika ini.

- Advertisement -

“Jadi, saya mahukan perubahan ADUN yang benar-benar ikhlas untuk membantu kita semua lebih-lebih lagi pada masa sekarang ini,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di hadapan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap pengundi inginkan perubahan ke arah yang lebih baik bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga kepada anak-anak dan setiap generasi mereka.

Tambahnya, dia tidak mahu lagi melihat berlakunya pelantikan ADUN yang hanya bersifat mementingkan diri semata-mata.

“Di sini ramai orang tengah susah lebih-lebih lagi apabila harga barang menjadi semakin tidak terkawal.

“Saya sudah serik melihat sesetengah pihak yang apabila dilantik terus hanya mementingkan diri sendiri semata-mata tanpa mempedulikan nasib rakyat itu sendiri.

“Maka, melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ini kita sama-sama membuat perubahan bukan untuk diri kita sahaja tetapi untuk anak-anak,cucu-cucu dan setiap generasi kita,” ujarnya.

Dia menyatakan bahawa PRK pada kali ini merupakan satu kelainan memandangkan sebelum ini ramai pengundi tidak tahu nak memilih calon yang mana satu.

“Maka sekarang ada juga sebahagian orang kita yang turun dan tahu nak memilih calon ADUN yang sesuai sebab dapat bezakan mana yang betul atau sebaliknya.

“Sama-sama kita harapkan adanya perubahan berlaku dalam PRK Kuala Kubu Baharu hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2024

- Advertisement -