Suruh buat surat mohon pertemuan, tetapi tak dilayan

- Advertisement -

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyarankan pembangkang membuat surat bagi mengadakan pertemuan, namun hakikatnya permohonan itu sebelum ini tidak dilayan.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker mendedahkan, itu adalah realiti yang berlaku di sebalik saranan sering dibuat oleh Aminuddin.

Malah katanya, semasa ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad menjawat jawatan Ketua Pembangkang, beliau juga pernah menghantar surat seperti yang disarankan, namun tidak mendapat maklum balas.

“Beliau telah membuat satu surat untuk berjumpa dengan Menteri Besar pada Sidang DUN pertama penggal pertama, tetapi tidak dibalas. (MB kata lagi) Buatlah surat kalau nak jumpa. Nak buat surat buat apa lagi? Kita dah pernah hantar surat you tak layan!” ujarnya kesal.

Beliau menyatakan perkara ini dalam satu sidang media sempena Persidangan Pertama DUN Negeri Sembilan yang dilakukannya di lobi DUN Negeri Sembilan, di sini petang semalam.

Sidang media tersebut disertai oleh semua ADUN Perikatan Nasional iaitu ADUN Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa; Ustaz Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang); Kamarol Ridzuan Md Zain (Paroi) dan Ridzuan Ahmad (Gemas).

Tegasnya, pada masa kini berdasarkan kematangan dan pengalaman wakil-wakil rakyat Perikatan Nasional sedia ada, beliau memberikan komitmen untuk menjadi lebih agresif mempertahankan hak rakyat Negeri Sembilan.

Menjawab soalan media berkaitan peruntukan wakil rakyat, Hanifah menjelaskan bahawa pelbagai usaha telah dilakukan ke arah itu, namun ia masih tidak dilayan pihak kerajaan.

“Kami dah bertanya, Menteri Besar tak jawab. Cuma kali ni dia jawab macam saya cakap tadi, jawapannya adalah agak mengelirukan rakyat. Kita tanya berkenaan peruntukan, dia cerita pasal pembangunan di kawasan.

“Jadi mungkin kami pun dah cakap dalam sidang DUN. Kita pun takkan tanya lagi dengan dialah sebab dia dah tahu bukan?” katanya kepada media.

Tambah beliau, menjadi hak Menteri Besar untuk tidak memberi peruntukan tersebut, namun beliau mengingatkan Menteri Besar mengenai reformasi yang dilaung-laungkan semasa mereka belum menjadi kerajaan.

“Apa yang beliau sebut reformasi pada PRU14? BERSATU sebahagian daripada sahabat Pakatan Harapan pada PRU14. Kami berkempen berkenaan reformasi. Apa maksud rerformasi? Bermaksud kita nak menambah baik apa yang tidak baik pada masa tu. 

“Jadi selepas menjadi Menteri Besar tak ada apa yang direformasikan. Mereka hanya mengulang, mengulang, mengulang, kesalahan yang sama,” ujarnya.

Kata Hanifah lagi, PH harus sedar bahawa mereka sebenarnya tidak menang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

“Mereka kalah. Mereka hanya tubuh kerajaan dengan kerjasama Barisan Nasional. Mereka menang 19 kerusi pada PRU14 tapi kali ini mereka menang 17 dan antaranya mereka kalah di Labu dan juga di Paroi,” katanya.

Tegas beliau, sekiranya Menteri Besar merasakan bahawa dengan tindakan itu mereka dapat menganiaya ADUN-ADUN daripada pihak pembangkang, itu adalah sesuatu yang silap. 

“Beliau sebenarnya tengah menganiaya penyokong-penyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sendiri di di kawasan-kawasan pembangkang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -