Sidang DUN N9 ‘sekat’ suara wakil pembangkang

- Advertisement -

SEREMBAN: Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker kesal kerana suara wakil rakyat pembangkang disekat daripada menyentuh isu-isu dan kegagalan kerajaan di dalam Dewan itu.

- Advertisement -

Menurut beliau, terlalu banyak isu ingin dibawa ADUN-ADUN pembangkang, namun tidak dapat disampaikan akibat wujud pelbagai kekangan dan peraturan tidak sama rata oleh Speaker DUN.

“Kami di peringkat Perikatan Nasional tidak berapa gembira sangat dengan perjalanan Sidang DUN. Kita sedia maklum perjalanan Sidang DUN Negeri Sembilan agak terhad.

“Mungkin dalam satu penggal tiga kali saja dan setiap Sidang DUN dalam tempoh tiga hari ke empat hari sahaja,” ujar beliau mempersoal sidang ditamatkan awal, semalam.

“Kita pun tidak faham kenapa tergesa-gesa sangat. Sedangkan kita ada tempoh sehingga esok hari. Takkan kita nak bincang berkenaan isu Negeri Sembilan untuk satu tahun dalam tempoh 11 ke 12 hari saja? Jadi tidak masuk akal.

“Sebagai contoh hari ini banyak perkara yang nak kita bangkitkan dalam Sidang DUN tetapi seolah-olah tidak diambil serius oleh pihak kerajaan,” ujarnya di lobi DUN Negeri Sembilan, di sini petang semalam.

Tambah beliau, sekiranya soalan-soalan itu melibatkan pujian kepada pihak kerajaan, ia dengan mudah akan diberi ruang dan masa yang banyak oleh Speaker.

Sebaliknya jelas beliau, sekiranya ADUN pembangkang mula menekan ataupun bertanya soalan yang lebih tegas berkenaan isu-isu masyarakat, mereka tidak akan diberi ruang oleh Speaker.

“Contoh mungkin pengamal media boleh melihat kita punya rakaman sidang yang berlaku masa ucapan saya sebagai Ketua Pembangkang, saya diberi ruang yang terhad.

“Tetapi ada sahabat-sahabat saya yang agak ‘smooth’ mereka diberi ruang yang lebih lama, walhal YB pihak kerajaan yang lain diberi ruang sampai 25 minit, ada yang sehingga setengah jam,” ujar beliau.

Kata Hanifah, perkara berlaku itu menunjukkan seolah-olah Speaker membuat mengikut kehendak kerajaan dan cuba melindungi Menteri Besar daripada soalan-soalan yang tegas.

Sidang media itu turut disertai ADUN Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa dan ADUN Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria serta ADUN Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain dan ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -