Negara dihimpit krisis angkara kerajaan gagal

Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Situasi negara seharusnya bertambah baik kerana pandemik Covid-19 telah lama berlalu, namun sebaliknya berlaku apabila rakyat Malaysia kekal berada dalam krisis.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, krisis tersebut adalah krisis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

- Advertisement -

“Kerajaan yang ada pada hari ini telah gagal. Tidak ada bukti kenyataan yang menyenangkan (rakyat),” katanya.

Menurut beliau, perkara yang paling utama diberikan perhatian oleh rakyat adalah berkenaan kos sara hidup, kenaikan harga makanan yang melambung tinggi, masalah cukai yang bertambah dan isu nilai Ringgit Malaysia yang menjunam. 

Oleh yang demikian menurutnya, tujuan membentuk kerajaan menerusi kuasa undi adalah bertujuan untuk mencari jalan ikhtiar supaya negara Malaysia yang terkenal suatu ketika dulu dapat dikembalikan.

“Dulu Malaysia dikenali sebagai ‘The Fighting Tiger’ dan bermacam-macam lagi gelaran yang menunjukkan kehebatan pertumbuhan negara kita.

“Namun pada hari ini  tidak begitu lagi, malahan ia menjadi beban kepada rakyat di mana-mana sahaja,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam program Ceramah Perdana Perikatan Nasional di Jalan Meranti 6, Seksyen 1, Fasa 3, Batang Kali, lewat malam tadi.

Oleh itu, beliau menggesa pengundi-pengundi di Kuala Kubu Bharu agar mengundi dan menangkan calon Perikatan Nasional bagi memberi isyarat kepada kerajaan di Putrajaya.

“Kuala Kubu Bharu akan menjadi medan bagi menentang kerajaan Pakatan Harapan.

“Beritahu Perdana Menteri bahawa pimpinan kerajaan perpaduan hari ini ditolak oleh penduduk Kuala Kubu Bharu,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -