Lelaki Itu: Realiti atau mentaliti?

- Advertisement -

“APABILA seorang suami tidak dapat menjadi Khalifah di rumah sendiri, dia akan menjadi ‘Lelaki’ di luar rumahnya.”

- Advertisement -

Drama yang menjadi topik hangat baru-baru ini membawa isu besar yang kurang diberi perhatian oleh masyarakat kita sebelum ini. Satu langkah berani buat penulis skrip serta seluruh produksi. Mengisahkan seorang isteri yang mengongkong dan tidak patuh hukum agama, suami yang berselingkuh sehingga berkahwin dalam diam, dan anak yang bermasalah dek kerana cinta akhirnya mengundang padah. 

Porak-peranda dalam rumahtangga Syed Mirza dan Sharifah Qaidah ini telah menyebabkan mudarat seperti status perkahwinan tidak berdaftar, perkahwinan fasid disebabkan pertalian darah dan masalah dalam pembahagian harta pusaka. Mengangkat tema ini dengan niat memberi input dan mendidik masyarakat seharusnya dipuji. Namun, sejauh mana ianya benar-benar berhasil?

Kita sedia maklum, isu sebegini sudah lama bersarang dalam negara kita. Lalu drama ini muncul dan secara jelas memaparkan kelompongan dalam institusi kekeluargaan. Ini realiti yang perlu dititikberatkan bahawasanya perkahwinan bukan perkara main-main. Betapa ilmu sangat diperlukan dalam membina institusi kekeluargaan yang baik berlandaskan agama. 

Berbalik kepada didikan kepada masyarakat melalui drama ini, menurut Ustaz Rohidzir Rais dalam video ulasan beliau, ada beberapa kesalahan hukum fiqh yang perlu diperbetulkan. Antaranya ialah penggunaan istilah ‘cerai’ bagi perkahwinan fasid, istilah ‘anak haram’ dan menggugurkan kandungan hasil dari perkahwinan tersebut. Sedangkan ia bukan istilah dan hukum yang sebenar menurut Islam. 

Walaupun sekadar dialog, ianya perlu diperbetulkan dan diperjelaskan kembali dengan lebih terperinci. Bimbang ibu bapa dan anak-anak generasi moden hari ini percaya hanya dengan menonton drama tanpa panduan ilmu yang betul.

Membawa realiti kehidupan dan hukum hakam dalam drama adalah satu nilai yang baik untuk mendidik masyarakat melalui hiburan. Namun, perlu diteliti adakah nilai ini menjadi fokus utama atau sebaliknya. Seperti filem, drama juga tidak lari daripada menjadi ‘doktrin’ minda penonton dan seterusnya mencipta ‘watak’ negara kita. 

Elemen romantis cintan cintun sememangnya menjadi ‘modal’ utama penggiat drama. Lama-kelamaan penonton mula muak, dan akhirnya drama yang membawa kisah benar realiti kehidupan seperti ini menjadi tontonan tertinggi. 

Sebenarnya di luar sana terlalu banyak drama yang mengangkat tema yang memberi pengajaran, mendidik dan bermanfaat. Saya bersetuju dengan penghasilan drama sebegini tetapi tetap dengan pendirian pensyariatan dalam penghasilannya. 

Contoh yang paling baik adalah drama-drama yang dihasilkan sendiri oleh stesen televisyen TV Al-Hijrah. Mungkin ianya sedikit idealistik, namun tidak mustahil jika suatu hari nanti seluruh produksi drama dan filem negara akan berubah ke arah itu kerana niat, selamanya tidak akan pernah menghalalkan cara. 

Daripada Umar bin al-Khattab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang akan mengikut apa yang diniatkan.” [Riwayat Muslim (1907)]

‘AQILAH ABD
Pahang Darul Makmur – HARAKAHDAILY 10/5/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -