SUNGAI PETANI: Kerajaan Negeri Kedah mengambil pendekatan ke atas usaha pembangunan modal insan dengan menerapkan penghayatan yang berfokus kepada Al-Quran.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, pembangunan itu adalah untuk membentuk insan ilmuan seimbang dari segi duniawi serta ukhrawi.
“Fokus kita melalui penghayatan Al-Quran, insan dididik agar mempunyai sifat manusiawi yang tidak hanya bergantung kepada pembangunan materialistik semata-mata, tetapi spiritual serta keilmuan untuk membentuk jati diri,” ujarnya.
Beliau menegaskan kaitan rapat pembangunan modal insan itu dengan agama dan pendidikan pada Multaqa Agensi Agama Daerah Kuala Muda 2024 di Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, di sini semalam.
Jelas Mohd Azam lagi, sejajar dengan usaha pembangunan tersebut, kerajaan negeri telahpun melancarkan Bulan Solat dan Penghayatan Al-Quran bermula sejak 8 Januari lalu.
Susulan pelancaran itu ujarnya, antara usaha penghayatan baharu dilaksanakan adalah memulakan setiap pagi hari bekerja dengan bacaan Al-Quran terlebih dahulu di Wisma Darul Aman.
“Kita mengangkat idea ini supaya bacaan Al-Quran secara harian dapat dikembangkan ke semua peringkat termasuk masjid-masjid di negeri Kedah.
“Tuanku Sultan Kedah juga menyambut baik usaha ini dan memberi galakkan agar program ini diteruskan kerana bermanfaat kepada rakyat negeri ini,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada para pegawai masjid, jawatankuasa kariah, guru-guru takmir, KAFA, tadika Islam dan lain-lain atas khidmat bakti yang telah diberikan.
“Pastinya tiada insan yang boleh membaca khazanah kitab ilmu agama dengan mendalam tanpa melalui guru-guru yang mengajar di masjid dan surau.
“Begitu juga jasa dan pengorbanan pegawai masjid dan jawatankuasa kariah yang tidak kenal erti penat dalam mentadbir dan mengurus rumah Allah selama ini.
“Jasa menjaga rumah Allah ini hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya,” ujar beliau yang juga ADUN Sungai Limau. – HARAKAHDAILY 10/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!