Ahli Umno perlu terus sedarkan pemimpin mereka

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Umno hari ini akan mempunyai peranan yang betul dan baik untuk negara sekiranya ia tidak diselewengkan oleh para pemimpin itu, demikian kata bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Malangnya menurut beliau, pemimpin Umno ketika ini membelot terhadap wasiat orang Melayu, menarik sokongan daripada bersama umat Melayu dan pergi kepada di DAP di mana pasti akan menerima kehancuran dan kekalahan.

Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu menyatakan, tindakan pemimpin Umno seperti itu menyebabkan parti tersebut ditinggalkan oleh orang Melayu dan hari ini bersepah ahli parti bertaburan lari meninggalkan Umno.

Bidas beliau, kalangan pemimpin masih tinggal berada dalam Umno kini kebanyakannya adalah mereka yang kalah dan ditolak oleh rakyat di mana hanya hendak menjaga kedudukan diri sendiri.

“Mereka ini dengan aibnya datang ke Kuala Kubu Bharu (KKB). Mengajak rakyat untuk menyokong DAP. Hipokrit taraf tertinggi,” ujarnya pada Ceramah PERIKATAN NASIONAL PRK N.06 DUN KKB di Batang Kali, di sini kelmarin.

Tan Sri Annuar menyatakan kesal dengan tindakan Umno menggunakan seorang veteran parti itu untuk berkempen untuk calon DAP di KKB dengan menyatakan itu adalah calon ‘ulil amri’ sebagaimana dalam ayat al-Quran.

“Setakat jual parti, juallah. Janganlah agama pun nak jual. Takkanlah ilmu dah tinggi, umur dah 70 lebih tahun, tak reti nak tafsir apa itu ‘ulil amri’? Nasihat saya kalau dah lahap sangat nak sokong DAP, jangan pergi ke tahap itu.

“Berpada-padalah dalam politik, janganlah kita berpolitik sehingga kita nak kempen rakyat dengan cara yang sesat dan salah begitu. Tafsiran ‘ulil amri’ tak kena. Konteks ayat tak kena. Apa lagi letakkan calon DAP itu sebagai lambang ‘ulil amri’.

Astaghfirullahal’azim. Sampai beginikah jadi pemimpin-pemimpin Umno yang ada. Begitu jauh sekali lari daripada perjuangan,” bidas beliau terhadap tindakan menggunakan tafsiran al-Quran sewenang-wenangnya.

Menurutnya lagi, setiap pilihan raya orang Umno yang berada di bawah tidak teragak-agak menghukum kerajaan dan menghukum Umno dengan tujuan hendak menyedarkan parti tersebut.

Beliau menyebut Umno Bahagian Gombak dan Kemaman sebagai Parlimen yang mempunyai ahli teramai di negeri masing-masing telah bertindak memberi mesej kepada pemimpin mereka dengan tidak memberi undi ketika pilihan raya.

Jelasnya, orang Umno sendiri tidak sanggup mengundi calon Umno yang bertanding disebabkan oleh sikap pemimpin parti itu menyalahgunakan Umno untuk kepentingan parti sendiri.

“Saya juga yakin ahli-ahli Umno KKB tidak akan terpengaruh untuk membuang undi begitu saja kepada calon DAP. Bukan kerana soal Melayu atau Cina, tetapi kerana orang Umno yang jati dan tulen, dia memahami selok-belok politik negara ini.

“Mereka ingat apa yang DAP, mereka ingat apa yang DAP buat, mereka faham apa itu dasar dan perlembagaan DAP dan apa dia sejarah DAP, kenapa dia ditubuhkan. Apa matlamat DAP dan sebagainya. Ahli Umno sedar ini.

“Kebencian mereka (DAP) itu terpancar daripada lidah-lidah mereka pada apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih besar, lebih dahsyat lagi. Inilah DAP. Apakah kita lupa apa yang keluar daripada mulut mereka? Apakah kita lupa?

“Apa keluar daripada mulut Superman Hew? Kita lupa apa yang keluar daripada mulut Lim Guan Eng? Kita lupa apa yang keluar mulut daripada Lim Kit Siang dan pemimpin-pemimpin DAP tak kira kaum apa?

“Saya berada dalam Parlimen. Apabila Umno dan PAS bekerjasama, dia (DAP) labelkan kita ini Taliban dan dengan berbagai-bagai perkara. Sekarang dia beritahu pula ada Gelombang Hijau nak menakut-nakutkan rakyat,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -