65% tak puas hati dengan PH-BN pengaruhi PRK KKB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Statistik menunjukkan lebih daripada 65 peratus rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi ekonomi kerajaan PH-BN di Malaysia serta negeri Selangor, pasti akan memberikan impak kepada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) menjelang esok (11 Mei).

QGen Analysts dalam kenyataannya berkata, ia juga termasuk ketidakpuasan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barang, dan cabaran perbelanjaan harian yang semakin sukar serta rasionalisasi subsidi minyak turut meningkatkan bebanan ekonomi di bawah pentadbiran PH-BN.

- Advertisement -

Dalam menghadapi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB ini menurutnya, Pakatan Harapan (PH) menghadapi satu ujian berat yang melampaui sekadar pertandingan politik justeru sedang berjuang untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat terhadap misi dan pencapaiannya semasa berkhidmat di Selangor dan Malaysia secara keseluruhan.

“Sejak beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, PH telah menghadapi cabaran yang signifikan, termasuk peralihan kuasa kepada Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan pada tahun 2020. 

“Walaupun PH berjaya kembali ke tampuk pentadbiran Persekutuan selepas PRU15 tetapi realitinya, PH terpaksa bergabung dengan beberapa parti komponen termasuk Barisan Nasional (BN) bagi membentuk sebuah kerajaan. 

“Selangor juga tidak kurang terkena tempiasnya apabila PH telah kehilangan beberapa kerusi penting di Selangor. Situasi politik dan pasca pandemik Covid-19 memberi tekanan kepada PH untuk membuktikan kebolehan mereka dalam menangani isu-isu ekonomi dan kebajikan rakyat,” ujar QGen Analysts dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, terdapat cabaran yang unik di Selangor seperti kekurangan beras putih tempatan, kenaikan kos sara hidup yang memberatkan, dan isu keselamatan jalan raya yang perlu diatasi dengan segera. 

“Ini adalah isu tempatan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat di Kuala Kubu Bharu, memperlihatkan keperluan tindakan berkesan dari pihak berkuasa,” tegas kenyataan tersebut.

Politik di Selangor, katanya,  telah mengalami perubahan ketara sejak tahun-tahun sebelum ini dengan berpindahnya kuasa dari wakil MCA kepada DAP serta demografi pengundi yang berbeza-beza turut memberikan latar belakang yang pelbagai kepada cabaran pilihan raya di kawasan KKB ini. 

Tambah QGenAnalysts, parti-parti dalam PRK ini menurutnya seperti PH dan PN berusaha untuk mendapatkan sokongan pengundi dengan mengatasi isu-isu tempatan dan menyuarakan pendirian politiknya.

Selain itu, ujar kenyataan tersebut, isu yang melibatkan elemen 3R (Royal (Raja), Religion (Agama), Race (Bangsa)) turut menjadi fokus dalam perbincangan politik. 

“Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri dan Pengerusi PN, mengenai kegentaran dan kemerosotan di bawah pentadbiran PH, mencerminkan kebimbangan mendalam rakyat terhadap kestabilan politik dan identiti negara.

“”alam menjelang PRK Kuala Kubu Baharu, Pakatan Harapan sedang menghadapi lebih daripada sekadar pilihan calon. 

“Mereka mengharungi ujian berat untuk membuktikan kesediaan mereka dalam menangani bebanan isu semasa dan memenangi semula keyakinan rakyat terhadap misi mereka. 

“Keputusan PRK ini akan memberi impak kepada arah politik Selangor dan negara secara keseluruhan, menandakan pentingnya perubahan politik yang sedang berlaku dalam landskap politik Malaysia,” kata kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -