Takiyuddin ketuai konvoi ARC sambut MB Kedah di Jeli

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengetuai konvoi ARC Kota Bharu ke Jeli bagi menyambut ketibaan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Konvoi Kembara Mike Bravo itu turut disertai ADUN Bunut Payung Shaari Mat Yaman; ADUN Semerak Norsham Sulaiman dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu Nor Azariza Md Alawi.

Ketibaan mereka di Bukit Bunga semalam disambut mantan Speaker DUN Kelantan Dato’ Abdullah Yaacob; ADUN Kuala Balah Dato’ Abdul Hadi Awang Kechik dan ADUN Bukit Bunga Mohd Almidi Jaafar.

Shaari berkata, program santai itu bagi memeriahkan sambutan kedatangan Menteri Besar Kedah ke Kelantan.

Katanya, malam tadi turut diadakan program hi-tea yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10.

“Pagi tadi Menteri Besar Kedah dan rombongan bertolak pulang ke Kedah setelah bertandang singkat ke Kota Bharu,” katanya di sini. 

Shaari juga berkata, beliau turut menghadiri jamuan Syawal yang diadakan di Masjid al Muhsinin Kampung Belukar, Jalan Telipot malam tadi.

Kata beliau program tersebut begitu meriah dengan dihadiri ahli-ahli jemaah dan penduduk tempatan yang menikmati pelbagai juadah disediakan.

“Program seumpama itu secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan penduduk tempatan dan mengimarahkan masjid. Usaha ahli jawatankuasa masjid mengumpulkan derma bagi menganjurkan program itu amat dihargai.

“Sambil menikmati pelbagai juadah penduduk dapat menunaikan solat berjemaah dengan mengikuti program bacaan Yassin, tahlil dan solat,” katanya.

Turut hadir pada program tersebut Ketua Jajahan Pasir Puteh Mohd Rosdy Ismail, yang juga tinggal di Kampung Belukar.

Pelbagai juadah disediakan termasuk ketupat, sate, loching, kuih muih, bihun goreng, mi goreng, laksa dan pelbagai lagi. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -