‘Sikap apologetik terhadap Zionis diketawakan musuh Islam’

Imran Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sikap apologetik terhadap Zionis Israel dalam perkara-perkara tertentu menunjukkan kita bacul dan diketawakan oleh musuh-musuh Islam.”

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Imran Sulaiman berkata, pihaknya turut prihatin mengenai penglibatan beberapa syarikat yang ada kaitan dengan jenayah perang Zionis terhadap  negara Palestin khususnya di Semenanjung Gaza pada ketika ini – dengan acara membabitkan membabitkan Kementerian Pertahanan Malaysia pada ketika ini.

- Advertisement -

“Acara tersebut ialah Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur dari 6 hingga hari ini, 9 Mei.

“Ribuan syarikat pempamer daripada hampir 60 negara seluruh dunia menyertai program ini. Ia turut melibatkan beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Tinggi sepatutnya menilai semula sebelum memutuskan sebarang kerjasama bersama syarikat persenjataan yang terlibat secara langsung terhadap genosid di Gaza.

“Kerajaan Malaysia juga sepatutnya menggesa syarikat-syarikat persenjataan tersebut menyatakan pendirian  ereka secara rasmi mengenai isu genoside di Gaza.

“Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan  yang terlibat juga digesa untuk menarik diri daripada program tersebut sebagai isyarat solidariti terhadap rakyat Palestin sekiranya syarikat-syarikat sekutu Zionis itu tetap dibenarkan menyertai pameran tersebut,” tegasnya.

Beliau berkata, ada antara syarikat-syarikat tersebut merupakan penyumbang platinum kepada acara antarabangsa anjuran DSA dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia, dan terbabit dalam penghasilan  jet-jet  tempur yang mengebom rakyat Gaza dan Palestin setiap hari.

“Kerajaan digesa (sepatutnya) menggugurkan serta-merta penyertaan (dalam acara DSA dan NATSEC Asia 2024) syarikat seperti Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI, dan Leonardo yang mempunyai kaitan dengan jenayah perang Zionis daripada acara yang mempunyai kaitan dengan Kementerian Pertahanan,” tegasnya.

Tambah beliau, sokongan kepada kemerdekaan negara Palestin perlu konsisten dalam apa juga bentuk dan secara optimum mengikut kemampuan yang ada. 

“Ayuh mahasiswa sekalian, kita kekal bersatu di bawah panji semangat perjuangan rakyat-rakyat Palestin dalam menentang kezaliman rejim Zionis Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -