Pemimpin jujur dapat naungan Allah di Mahsyar

- Advertisement -

SEREMBAN: Seseorang pemimpin itu akan menghadapi pelbagai ujian berat, termasuk yang boleh menjerumuskan mereka kepada perbuatan penyelewengan, kejahatan dan berlaku zalim.

- Advertisement -

Namun, para pemimpin yang berjaya melalui ujian itu dan kekal menjadi pemimpin jujur akan dikurniakan Allah SWT dengan nikmat menjadi golongan pertama mendapat naungan-Nya di Padang Mahsyar kelak.

Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa (PN-Serting) berkata, perkara itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam satu hadis terkenal mengenai  ‘tujuh golongan manusia yang dinaungi Allah pada hari tiada tempat bernaung’ diriwayatkan Bukhari dan Muslim.

“Kedudukan seorang pemimpin menjadi rebutan pada akhir zaman kerana ia merupakan peluang untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan dunia semata-mata. Akan tetapi, melupakan tanggungjawab yang akan dibawa ke Hari Akhirat dan segalanya akan dihisab kelak.

“Apabila seseorang pemimpin itu leka atau lemah imannya, maka sering kali jawatan paling tinggi itu dijadikan tempat bagi mengejar kekayaan sehingga tiada lagi kepuasan,” ujarnya. 

Tambah Ustaz Fairuz, hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang berbunyi ‘Dan jika seseorang anak Adam itu diberikan satu lembah yang dipenuhi dengan emas, nescaya dia mahu memiliki dua lembah lagi; dan tidak dapat memuaskannya melainkan mulutnya dipenuhi dengan tanah. Namun, Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat kepada-Nya.’

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu turut membacakan al-Quran surah al-Ahzab ayat 72 di mana Allah menceritakan betapa langit, bumi dan gunung-ganang tidak sanggup menerima tanggungjawab kepimpinan kerana bimbang tidak mampu melaksanakannya.

Namun begitu, jelas beliau, berdasarkan ayat tersebut, manusia sanggup memikulnya dan Allah SWT menyatakan dalam ayat tersebut bahawa sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan amat jahil.

“Ayat ini adalah firman Allah SWT perihal pemimpin utama ialah jawatan atau kedudukan yang menjadi amanah paling besar bagi manusia yang ditolak oleh makhluk langit dan bumi kerana takutkan balasan Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu Perbahasan Junjung Kasih Titah Di-Raja, Persidangan DUN Negeri Sembilan, di sini semalam.

“Begitu juga para pemimpin yang dikelilingi oleh para pengampu yang menipu dan melalaikan bersamanya. Mereka itu dianggap sebagai kawan yang setia, tetapi sebenarnya makhluk perosak yang mengipasnya supaya terus lalai dan leka.

“Namun begitu, fadilat yang sangat besar kepada sesiapa yang dapat menunaikan amanah kepimpinan mengikut perintah Allah SWT. 

“Sehingga mendapat kedudukan pertama untuk berada di bawah naungan Allah SWT di Padang Mahsyar yang menakutkan kelak,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -