PD perlu hospital lebih besar untuk kekal bahagia

- Advertisement -

SEREMBAN: Sebagai sebuah bandar yang mendapat pengiktirafan antara 10 bandar dengan penduduk paling bahagia di Malaysia, Port Dickson memerlukan sebuah hospital lebih besar.

- Advertisement -

Ustaz Abdul Fatah Zakaria (PN-Bagan Pinang) berkata, dengan kemudahan hospital dan kesihatan yang lebih baik, ia akan dapat mengekalkan kebahagiaan penduduknya.

“Kita mengharapkan supaya ada perancangan lebih teliti untuk melihat Port Dickson lebih bahagia, lebih harmoni, lebih aman dan kondusif untuk dihuni pelbagai masyarakat dari pelbagai tempat di seluruh Malaysia.

“Apabila kita melihat untuk melahirkan keharmonian, kita mestilah ada sebuah fasiliti kemudahan hospital. Saya mengharapkan supaya kerajaan melihat bilakah akan bermulanya projek penambahan Hospital Port Dickson,” ujar Ustaz Fatah.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata demikian sewaktu Perbahasan Junjung Kasih Titah Di-Raja, Persidangan DUN Negeri Sembilan, di sini semalam.

“Saya ingat banyak kali dah projek ini diuar-uarkan tapi masih lagi belum menjadi realiti. Insya-Allah mudah-mudahan sebelum berakhirnya penggal ini kita akan melihat sebuah hospital (tambahan) akan terbina di Port Dickson.

“Insya-Allah akan lebih membahagiakan penduduk Port Dickson. Sebab kita tahu bahawa keadaan Port Dickson makin padat dengan penduduk dan juga pertambahan kem-kem tentera, ia memerlukan katil yang banyak dan kemudahan hospital untuk orang ramai,” ujarnya.

Beliau dalam ucapannya secara berseloroh berkata bahawa beliau sendiri tidak pasti apa kriteria yang menyebabkan Port Dickson terpilih sebagai salah sebuah bandar paling bahagia di Malaysia.

“Saya tidak pasti kriteria mana yang dipilih. Sebab kalau kita tengok orang Kuala Pilah lagi bahagia. Tetapi oleh kerana telah dinobatkan maka kita terima.

“Tak tahulah mungkin atas kapasiti Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebagai Ahli Parlimen (di situ) agaknya,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -