
KUALA TERENGGANU: Terengganu sedang menunggu perincian Kerajaan Pusat berhubung kenaikan gaji sebanyak 13 peratus kepada penjawat awam sebelum melaksanakan tindakan lanjut.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengumuman daripada Perdana Menteri masih dalam peringkat Kerajaan Pusat.
“Kita tiada maklumat terperinci lagi, masih di peringkat pengumuman di peringkat kerajaan pusat, jadi kita tengoklah perkembangan seterusnya.
“Kita tengok dulu apa yang diumumkan perinciannya, bercakap pengumuman tanpa perincian pelaksanaan itu kita pun sukar untuk buat tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pentauliahan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan sempena Temasya Sukma XXI Sarawak 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Anwar pada pagi Rabu telah mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.
Mengulas lanjut Samsuri berkata, selepas perincian diumumkan oleh Perdana Menteri pihaknya akan mengkaji dan mengambil langkah yang sepatutnya untuk dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 9/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!