KPK terima pelaburan MIE Green Resources

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dalam usaha ke arah memajukan industri hijau bagi ekonomi negeri, Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) berjaya menarik pelaburan MIE Green Resources, sebuah anak syarikat milik penuh MIE Industrial Sdn. Bhd.

- Advertisement -

Pelaburan itu dimeteraikan melalui satu majlis perjanjian pajakan kecil melibatkan tanah seluas 26,000 ekar di Gua Musang diadakan di Hotel Perdana, di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri Pengerusi KPK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin, Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Dato’ Sr Zamri Ismail, Pengurus Besar KPK Iazmi Che Sof dan Pengarah Urusan MIE Industrial Sdn. Bhd, Dato’ Khoo Chee Hiong.

Tanah tersebut akan dimajukan bagi projek tanam semula sebagai sumber untuk industri tenaga hijau biomass, produk biomass dan kayu.

Dr Izani dalam ucapannya optimis terhadap perkembangan itu.

“Kelantan berada di ambang kebangkitan industri yang berkelanjutan. Kami amat berharap dengan pelaburan ini, Kelantan akan menjadi peneraju dalam industri biomass.

“Kami meletakkan kepercayaan tinggi terhadap kemampuan MIE untuk menjayakan agenda ini,” katanya yang juga ADUN Kijang.

MIE Industrial adalah antara kontraktor tempatan terkemuka dalam perkhidmatan kejuruteraan, pembelian, pembinaan, dan komisen (EPCC) khusus untuk industri minyak, gas, kuasa, dan petrokimia.

Syarikat itu mempunyai kerjasama strategik dengan Petronas, yang telah membawa kepada pelbagai projek besar termasuk pembangunan infrastruktur di Pengerang.

MIE Industrial juga memiliki beberapa anak syarikat seperti Seremban Engineering dan Hi Essence Cable, yang kedua-duanya memainkan peranan penting dalam pengembangan dan inovasi dalam pembuatan kabel dan pembuatan.

Pelaburan oleh MIE Green Resources itu dijangka memberikan impak yang besar terhadap ekonomi tempatan dengan penciptaan peluang pekerjaan baru dan pembangunan kemahiran dalam kalangan rakyat Kelantan.

Khoo Chee Hiong, ketika ditemui menyatakan bahawa MIE sangat gembira dengan kerjasama itu di Kelantan.

“Pelaburan ini bukan sahaja akan menjadikan Kelantan sebagai hab tenaga hijau di Malaysia tetapi juga sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri.

“Ini adalah bukti komitmen kami untuk melihat Kelantan berkembang sebagai kuasa baru dalam industri tenaga hijau,” ujarnya.

Majlis perjanjian pajakan itu bukan sahaja menandakan permulaan kerjasama yang bermakna antara MIE dan KPK iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad negeri tetapi juga simbolik terhadap usaha berterusan Kelantan dalam menarik pelaburan yang berimpak tinggi.

Ini adalah langkah penting ke arah menjadikan Kelantan sebagai pemain utama dalam ekonomi hijau di peringkat nasional dan global. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -