KANGAR: Hubungan parti komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) Perlis berjalan lancar meskipun timbul pelbagai desas-desus yang menghangatkan suasana politik negeri ini.
Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, gabungan itu tiada masalah hubungan dan mengingatkan untuk tidak mudah percaya berita media sosial yang tidak sahih.
“Tiada masalah, saya dengan Yang Berhormat (YB) yang ada itu masih berjumpa, masih berbincang, tiada isu. Cuma dalam TikTok tu bukan semua tuan tubuh yang buat, orang lain yang buat.
“Saya pun tidak percaya apa yang tersebar itu. Dia (YB Abu Bakar Hamzah) pun dah buat laporan polis, dia pun datang rumah sebelum buat laporan polis, jadi tiada isu,” katanya.
Timbalan Pengerusi PN Perlis, Abu Bakar Hamzah yang juga ADUN Kuala Perlis turut menafikan kaitan beliau terlibat dalam menggerakkan usaha bagi menjatuhkan Mohd Shukri.
Sehubungan itu, Abu Bakar membuat laporan polis terhadap pihak yang memfitnah beliau kononnya membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes anak Menteri Besar.
“Laporan polis ini dibuat bagi menafikan dakwaan berkenaan dan ia merupakan cubaan bagi memecah-belahkan gabungan PN di negeri ini.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam membuat laporan kepada SPRM berhubung kes Menteri Besar itu. Oleh itu, saya mahu siasatan dilakukan pihak berkuasa atas laporan fitnah dikeluarkan pengendali akaun TikTok terlibat,” katanya.
Baru-baru ini, tular satu klip di laman TikTok memaparkan Abu Bakar sebagai individu yang membuat laporan kepada SPRM berhubung kes melibatkan anak pemimpin utama negeri itu.
Terdahulu, media melaporkan penahanan reman anak Mohd Shukri bersama seorang pegawai kanan kerajaan negeri dan empat individu lain bagi membantu siasatan SPRM.
“Bab hal individu itu kita serahkan siasatan kepada SPRM malah saya tiada sebarang masalah dengan Menteri Besar.
“Mana mungkin saya mengkhianati PN dengan melakukan tindakan sedemikian yang mampu menjejaskan hubungan parti-parti komponen di peringkat negeri atau Pusat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!