Exco tinjau operasi menyelamat di Sungai Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Anggota Exco kerajaan negeri Rohani Ibrahim dan bekas Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob turut meninjau operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Sungai Kelantan.

- Advertisement -

Seorang nelayan sungai Saidi Che Hasan, 51, dipercayai lemas setelah terjatuh dalam sungai pada kejadian di Kampung Kutan Sungai semalam.

Ustaz Ahmad meninjau dari dekat operasi menyelamat yang dijalankan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau yang juga ADUN Pasir Pekan turut bertemu dengan ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi kejadian.

Tragedi tersebut turut menarik perhatian Rohani yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, menyantuni keluarga malang terbabit termasuk isteri mangsa, Zuhaidah Mohamad Salleh, 44.

“Allahu Akbar, pagi kelmarin juga dalam kejadian berasingan di Kampung Kutan Sungai, Tumpat di sini, seorang lelaki dikatakan terjatuh dari bot ketika mahu mengangkat bubu.

“Mangsa masih belum dijumpai. Kak Ni doakan agar isteri mangsa dan keluarga bersabar, teruskan berdoa agar dipermudahkan urusan penyelamat,” katanya pada hantaran di media sosialnya hari ini.

Media semalam melaporkan seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari botnya ketika sedang mengangkat bubu di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Kutan Sungai, Tumpat.

Manakala dalam kejadian berasingan seorang lagi lelaki, 28 tahun dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari jambatan pada jam 9.46 pagi semalam.

Sementara itu dalam perkembangan terbaru mayat mangsa yang terjatuh bot di Kampung Kutan Sungai ditemui anggota penyelamat pagi tadi. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -