Buat kajian dan pindaan perkasa Enakmen Syariah N9

- Advertisement -

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui agensi-agensi agama Islam digesa membuat kajian keperluan kepada pindaan memperkasakan Enakmen Syariah negeri itu daripada diganggu-gugat pihak tidak bertanggungjawab.

- Advertisement -

Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa (PN-Serting) berkata, ia sesuai dengan titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada Mac lalu agar pindaan dibuat melibatkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam, Enakmen Mahkamah Syariah dan Enakmen Undang-Undang Kekeluargaan Islam.

“Kita telah lihat bagaimana perundangan Islam di Negeri Kelantan berjaya disekat oleh mereka yang anti dengan perundangan Islam. Mereka menggunakan Perlembagaan Malaysia untuk melawan perundangan syariah ini di Mahkamah Persekutuan.

“Usaha perlu dilakukan segera agar pemerkasaan Mahkamah Syariah dilaksanakan agar pihak yang ingin mencabar tiada ruang dan peluang untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata demikian sewaktu Perbahasan Junjung Kasih Titah Di-Raja, Persidangan DUN Negeri Sembilan, di sini semalam.

Tambah beliau, pada tahun 2012 hingga 2015 yang lalu Enakmen Syariah Negeri Sembilan pernah dicabar bagi Seksyen 66, Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana dikatakan melanggar Artikel 5(1), 8(1), 8(2), 9(2) dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Hal tersebut berkaitan dengan tiga orang lelaki Islam yang dikatakan berpakaian wanita, ditangkap dan dijatuhkan hukuman di Mahkamah Syariah di Negeri Sembilan. 

“Namun mereka telah mencabar kesahihan hukum tersebut di Mahkamah Rayuan dan didapati menang kerana berlawanan dengan beberapa artikel dalam Perlembagaan Malaysia yang disebutkan tadi tentang hak asasi rakyat Malaysia,” katanya.

Kerana itu, beliau mencadangkan Kerajaan Negeri Sembilan melalui agensi-agensinya seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri ataupun lain-lain agensi terbabit untuk membuat kajian memperkasakan semula Enakmen Undang-undang Syariah yang sedia ada.

“Ia agar tiada ruang bagi pihak tertentu mengambil peluang untuk menghapuskan segala undang-undang berkaitan syariah di Negeri Sembilan,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -