Kelantan simpati pemain bola sepak disimbah asid

Zamakhshari Muhamad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melahirkan rasa dukacita di atas peristiwa yang menimpa pemain bola sepak kebangsaan Faisal Halim yang cedera akibat disimbah asid dua hari lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, Faisal merupakan bintang bola sepak Malaysia yang sedang bersinar.

Menurutnya, apa yang berlaku ke atas Faisal amat menyedihkan dan kerajaan negeri amat bersimpati di atas apa yang berlaku.

Kata beliau berdasarkan maklumat terkini seperti dilaporkan media, pemain kebangsaan itu akan menjalani satu lagi pembedahan petang ini.

“Saya yakin semua anggota masyarakat pelbagai peringkat amat sedih dengan insiden tersebut.

“Mari kita doakan agar segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT dan diberi kesembuhan buat Faisal,” katanya di sini.

Media sebelum ini melaporkan Faisal yang merupakan pemain Selangor FC dan skuad kebangsaan mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badan selepas diserang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.

Manakala pada Khamis lepas pemain pasukan Terengganu FC Akhyar Rashid dipercayai dipukul dan samun.

Zamakhshari juga berkata, insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -