
KOTA BHARU: Umat Islam di negara ini disaran meneruskan bacaan doa Qunut Nazilah sebagai solidariti dengan rakyat Palestin.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, serangan terbaru Zionis Israel ke atas Rafah di Palestin pada 6 Mei menyebabkan 19 orang terbunuh.
Katanya, tindakan ganas Zionis itu menjadi bukti keengganan negara haram tersebut menerima gencatan senjata.
Serangan itu kata beliau berlaku beberapa jam selepas Hamas menerima cadangan gencatan senjata rundingan damai ditaja Mesir dan Qatar demi keselamatan Rafah.
“Tindakan tersebut telah melanggar perjanjian gencatan senjata, semoga Allah SWT melindungi saudara kita di Palestin dan menghapuskan kezaliman yang dilakukan Zionis Israel.
“Masukkan dalam doa kita setiap kali selepas solat. Insya-Allah, doa adalah senjata orang beriman,” katanya pada hantaran di Facebooknya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Rafah merupakan benteng terakhir penduduk mendapat perlindungan sejak perang bermula 7 Oktober lalu.
Tindakan Zionis Israel bakal mengancam hospital tajaan Eropah di Rafah yang menjadi tempat perlindungan dan talian hayat terakhir bagi rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 8/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!