Kerjasama keluarga, masyarakat pulih penagih dadah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Semua orang mempunyai peluang untuk mengubah masa hadapan ke arah lebih baik selepas berdepan suasana berliku pada masa lampau.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, setiap individu mampu mengubah masa lalu.

Bagaimanapun katanya, usaha itu perlu kerjasama padu keluarga dan masyarakat bagi memastikan golongan terbabit boleh kembali menjalani kehidupan normal.

“Tanggungjawab membawa mereka pulang ke pangkal jalan tidak hanya menjadi tugas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) semata-mata, sebaliknya semua pihak perlu terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemerkasaan Klien Kekal Pulih melalui Post Continuum Care (PCCP) di Tiara & River Beach Resort, PCB dekat sini hari ini. (Foto atas) Program berkenaan dianjurkan AADK Negeri Kelantan.

Menurutnya juga difahamkan program itu mengumpulkan klien lanjutan (aftercare) bersama keluarga untuk meningkatkan semangat untuk pulih daripada penagihan dadah.

“Selain itu juga ia dapat mengeratkan kebersamaan antara klien dan agensi dalam meraikan bulan Syawal,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih kepada AADK di atas pelbagai program yang dianjurkan untuk merawat dan memulihkan bekas penagih dadah. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -