Isu Lockheed Martin, BAE Systems: Apa pendirian kerajaan Malaysia?

Mythreyar (kanan) ketika menyertai tunjuk perasaan pro-Palestin di hadapan Pintu Utara MITEC, Kuala Lumpur pada hari ini, 7 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Apa dan di manakah pendirian kerajaan sebenarnya apabila membenarkan syarikat Lockheed Martin dan BAE Systems menyertai acara Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (DSA-NATSEC) Asia 2024 yang berlangsung berlangsung di hadapan Pusat Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini dari 6 hingga 9 Mei ini?

Seorang pekerja bebas, Mythreyar Mutturamalinggam berkata, kedua-dua buah syarikat tersebut merupakan antara pembekal senjata utama kepada negara haram Israel dalam membunuh ramai rakyat Palestin.

- Advertisement -

“Jadi, kenapa masih beri mereka masuk (menyertai DSA-NATSEC Asia 2024) sedangkan kerajaan sendiri sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Palestin?” soalnya.

Dia ditemui Harakahdaily ketika menyertai tunjuk perasaan aman pro-Palestin di hadapan Pintu Utara MITEC, di sini, pada hari ini.

Menurutnya, sifat sedemikian seolah-olah menunjukkan bahawa kerajaan tidak begitu serius dalam isu Palestin kerana sekiranya benar-benar menentang negara haram Israel, maka ia perlu dilakukan secara menyeluruh.

Mythreyar menegaskan, rakyat di negara ini sangat prihatin dengan nasib rakyat di Palestin khususnya di Semenanjung Gaza, yang mana kerajaan perlu mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

“Saya orang Tamil Malaysia tetap bersama-sama rakyat Palestin kerana ini bukan soal isu agama semata-mata tetapi juga kemanusiaan…saya sangat dan dapat memahami penderitaan yang mereka alami.

“Saya sendiri ingin menyatakan bahawa penindasan yang dilakukan di Palestin juga boleh berlaku dalam negara ini walaupun secara langsung ataupun tidak langsung melalui proksi-proksi mereka.

Tien Chua (tengah) turut menyertai tunjuk perasaan aman pro-Palestin di hadapan Pintu Utara MITEC, Kuala Lumpur pada hari ini, 7 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/ Ikmal Emir)

“Lihat apa yang berlaku pada masa dulu ketika kerajaan Sri Lanka membantai orang-orang Tamil dan (negara) yang melatih tentera Sri Lanka itu sendiri merupakan proksi negara haram Israel, iaitu India.

“Perkara sebegini telah banyak dilakukan di negara-negara lain juga dan takkan kita nak berdiam diri pula?” katanya selepas sidang media di hadapan Pintu Utara MITEC.

Turut hadir ialah Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua dan Presiden Sejagat, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan.

Mythreyar (kanan) berikrar akan meneruskan sokongan yang tidak berbelah bahagi buat rakyat Palestin yang kini ditindas Zionis Israel. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

Tambah Mythreyar, sebarang penentangan terhadap negara haram Israel perlu dilakukan secara menyeluruh walaupun oleh pihak kerajaan itu sendiri.

Katanya, rakyat negara ini menjadi keliru apabila kerajaan menyatakan sokongan kepada Palestin tetapi pada masa sama membenarkan syarikat pembuat senjata Amerika Syarikat itu sendiri untuk menyertai DSA-NATSEC Asia 2024 pada ketika ini.

“Saya bersama-sama rakyat negara ini tekad bersama-sama rakyat Palestin, dan kerajaan wajib kena buat perkara yang sama juga,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2024

- Advertisement -