KANGAR: Suhu panas melebihi 40 darjah celcius tidak mustahil boleh berulang lagi di negeri ini khususnya di Chuping, demikian menurut Pengerusi Kesihatan dan Teknologi Hijau Negeri, Megat Hashirat Hassan.
Menurutnya, pada 1998, Chuping menerima suhu terpanas di Malaysia iaitu 40.1 darjah celcius di mana kemungkinan berlaku lagi ekoran cuaca panas dijangka berterusan sehingga Julai susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino.
“Walapun sejak kebelakangan ini hujan sering turun di Perlis pada waktu malam, di mana secara tidak langsung meredakan sedikit suhu melampau di waktu siang.
“Namun kita sentiasa siap sedia berdepan cuaca panas ini termasuk aspek kesihatan. Jabatan Kesihatan Negeri akan sentiasa mengemaskini maklumat berkaitan dari semasa ke semasa,” jelas beliau.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, Malaysia dijangka terus berdepan dengan cuaca panas hingga Julai ini susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.
Perlis antara negeri yang akan mengalami cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah celcius bagi tempoh kira-kira tiga bulan termasuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Negeri, Izizam Ibrahim dalam pada itu berkata, berdasarkan data hujan tahunan dicerap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Perlis akan menerima hujan bermula pada bulan Mei setiap tahun.
Selain itu ujarnya, laporan tinjauan cuaca jangka panjang bagi April hingga September oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bertarikh 31 Mac 2024 mengganggarkan Perlis akan menerima taburan hujan lingkungan purata sebanyak 140 hingga 210 milimeter sebulan.
“Justeru, berdasarkan maklumat ramalan cuaca yang telah dikemukakan serta ketersediaan input pertanian, bekalan air pertanian dijangka dapat dibekalkan seawal bulan Mei 2024.
“Bagi memastikan bekalan air domestik tidak terjejas, JPS Perlis juga ingin mencadangkan supaya proses catuan air kepada bekalan domestik sebanyak 20 peratus sekiranya aras air empangan turun sehingga 26.80 meter.
“(Ini) sepertimana yang telah ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) empangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024