Penantian 10 bulan berakhir, peniaga kembali beroperasi

- Advertisement -

KANGAR: Kesabaran para peniaga menanti selama 10 bulan berakhir apabila 20 kiosk di Taman Sena, di sini kembali beroperasi bermula Jumaat, 3 Mei lepas.

- Advertisement -

Seorang peniaga, Suriati Taib, 44, berkata, beliau merasa lega dapat berniaga di lokasi yang sama sebelum ini, ketika ditemui dalam tinjauan Harakahdaily hari ini.

“Alhamdulillah lega dapat kembali berniaga di sini, 10 bulan juga tunggu. Makcik berniaga sini sejak 2017 lagi dan apa yang dijanji memang dapat.

“Depa (mereka) suruh pindah sementara untuk sediakan sediakan tempat (kiosk) yang lebih selesa ini, lebih mudah,” katanya bersemangat memulakan kembali jualannya.

Seorang lagi peniaga, Nasuha Aminuddin, 29, juga turut menarik nafas lega kerana tidak lagi perlu mengangkut barang-barang niaga setiap hari yang terpaksa dilaluinya sepanjang 10 bulan ini.

“Alhamdulillah lebih mudah la dengan adanya kiosk macam ni, tak perlu nak bawa balik barang setiap hari. Kalau hujan pun lebih selamat, boleh tutup saja kalau dulu renyah sikit,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil dalam pada itu berkata, 20 kiosk terbabit sudah boleh beroperasi dan diserahkan kepada peniaga yang sama sebelum ini.

“Gerai sudah mula beroperasi bagi yang berkeinginan, kita harap para peniaga akan menitikberakan syarat 3K (keceriaan, kebersihan dan keselamatan) yang kita maklumkan sebelum ini.- HARAKAHDAILY 6/5/2024