Konsep fiqh kontemporari hidup bersama gerakan Islam

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
- Advertisement -

GOMBAK: Fiqh hanya kekal menjadi perbahasan kepada orang ramai hingga para profesor di universiti dalam menghasilkan kesimpulan yang padu, tetapi tidak akan hidup kepada realiti jika ianya tidak dilaksanakan.

Ahli Lembaga Pengarah Akademi Pendidikan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, fiqh akan menjadi konsep sebenar yang hidup apabila adanya kuasa iaitu dengan dibawa ke dalam masyarakat menerusi usaha dipanggil dakwah.

- Advertisement -

Manakala untuk ianya dikuatkuasakan jelas beliau, memerlukan kepada siasah dan kerana itulah PAS menghidupkan perbahasan fiqh dari halaqah-halaqah kecil hingga kepada gerak kerja sebagai gerakan Islam.

“Sebab itu kalau mereka kaji Majlis Syura Ulamak PAS, keputusan-keputusan yang dibuat mengenai tahaluf, taawun, termasuklah tentang Fiqhul Wahdah ini, kita lihat sebenarnya konsep-konsep fiqah kontemporari ini ia hidup bersama gerakan Islam,” ujarnya.

Beliau membuat pembentangan itu pada Konvensyen Fiqh Al-Wahdah membawa tema ‘Islam Menyatukan Ummah’ yang diadakan di Dewan Dato’ Haji Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini kelmarin.

Menurutnya, gerakan Islam yang muncul sejak tahun 1924 termasuk PAS di negara ini ketika itu berdepan dengan proksi-proksi penjajah yang mengekalkan aliran pemikiran sekular, aliran ekonomi liberal dan komunis.

Malah kata beliau, PAS hampir 70 tahun bergelut dengan cabaran daripada bangsa sendiri iaitu orang Melayu yang berfahaman sekular hingga menolak hukum-hukum Islam pada era 1950-an, 60-an, 70-an dan 80-an.

“Bayangkan Umno tahun 1950-an buat keputusan untuk melaksanakan kegiatan judi kebajikan. Ada sesetengah yang ada latar belakang agama sokong.

“Jadi, kita (PAS) bergelut selama 70 tahun itu dalam konteks untuk menyedarkan masyarakat kita. Sehinggalah tahun 1990-an di mana gerakan Islam mula mencapai kemenangan.

“Di Afghanistan kita menang, tidak melalui cara damai. Afghanistan berjaya menghalau tentera Soviet Union. Kemudian, berlaku rampasan kuasa oleh Jeneral Omar Bashir di Sudan. Kemenangan FIS di Algeria.

“Kemenangan parti Refah di Turki dan jangan lupa kemenangan PAS pada 13 Oktober 1990 di Kelantan. Ini adalah merupakan suatu titik tolak baharu di mana gerakan Islam telah mencapai kemenangan,” ujarnya.

Gerakan Islam umpamanya PAS kata beliau, walaupun hanya memerintah Kelantan dan Terengganu selepas itu, tetapi perjuangan PAS sudah menang iaitu sekular sudah dikalahkan kerana sebelumnya mereka mengecam perjuangan menegakkan Negara Islam.

“Tahun 1990 ke atas, dah mula malu nak mengaku sekular. Nak kecam hudud takut. Gerakan Islam mula mencapai kemenangan. Ketika inilah sebenarnya gerakan Islam mula menghadapi kepala yang menentang kita iaitulah kuasa-kuasa besar dunia secara langsung.

“Tidak lagi menghadapi proksi mereka dari kalangan orang kita sendiri, kita sekarang ini sebenarnya sudah menghadapi kuasa-kuasa besar dunia secara langsung di samping ada proksi-proksi. Lalu mereka membuat pelbagai perancangan.

“Antaranya ialah melakukan strategi pecah perintah. Mereka buat kajian, kalau dalam konteks kita di Malaysia ni mereka pecahkan kepada beberapa kumpulan,” ujar beliau menyentuh antaranya kumpulan yang mengelirukan ajaran dalam Islam.

Dr Zuhdi memetik laporan oleh RAND Corporation iaitu satu badan penasihat dasar-dasar luar dan ketenteraan yang mengkategorikan PAS sebagai kumpulan fundamental iaitu berpegang teguh kepada ajaran Islam tetapi melaksanakan gerak kerja ikut kaedah moden.

Buku tersebut menurut beliau, tujuannya untuk perpecahan umat Islam dengan menimbulkan fikrah asing dalam gerakan Islam termasuk PAS antaranya cuba menanamkan kembali sekularisme dalam bentuk jenama lain.

“Dalam konteks kita hari ini kita tahu zaman kita menghadapi proksi-proksi ini sudah berlalu walaupun berterusan kita sedang menghadap kuasa-kuasa besar dunia yang campur tangan secara langsung dalam dunia Islam.

“Gerakan Islam sebelum ini kita yakin bahawa ini simple formula kita. Kita nak mempertahankan Islam, kita nak menegakkan Islam. Kita dapat kuasa kita boleh tegakkan Islam. Maka kita pun berusaha dapat kuasa tetapi sebenarnya tidak semudah itu formula dia.

“Ada ketikanya, walaupun kita mempunyai kuasa yang sedikit kita bersama dalam bentuk kerjasama bersama kerajaan. Sebagaimana yang telah kita buat dalam BPMS (Budaya Politik Matang dan Sejahtera).

“Untuk mendaulatkan, membawa usul rang undang-undang persendirian, berkaitan dengan kanun ataupun akta jenayah syariah. Jadi, kita ada pelbagai bentuk kerjasama,” beritahunya mengenai perkara diputuskan Majlis Syura Ulamak PAS tahun 2015 itu.

Selain mendapat kuasa jelasnya, PAS ada alternatif lain termasuk kerjasama membentuk kerajaan campuran seperti tahun 2020 yang semua itu adalah sebenarnya termasuk dalam mengaplikasikan Fiqh al-Wahdah.

Perkara itu terangnya, bermula pada tahun 2008 apabila Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan melihat hala tuju dan juga kemerbahayaan yang sedang negara hadapi sehinggalah rentetan 2019 tertubuhnya Muafakat Nasional.

“Jadi Fiqh Al-Wahdah itu ia bukan hanya berkaitan dengan usaha untuk kita mendapatkan kuasa, tetapi usaha untuk kita mendaulatkan Islam dan mempertahankan Islam sewaktu kita tidak ada kuasa.

“Dengan cara taawun, dengan cara kerjasama, dengan cara kita membentuk kerajaan. Bahkan sebenarnya konsep Unity Government dikemukakan oleh Tuan Guru Presiden tahun 2009 itu mendahului zaman.

“Tahun 2022 baru mereka nak buat,” ujarnya dipercayai merujuk kepada Pakatan Harapan-Barisan Nasional yang membentuk kerajaan campuran dinamakan sebagai Kerajaan Perpaduan pasca-PRU15.

Dr Zuhdi mengembangkan pembentangannya dengan turut menggariskan cabaran untuk mengaplikasikan Fiqh al-Wahdah dalam negara iaitu pertama disebabkan kewujudan para ulama yang enggan terlibat politik.

Kedua katanya, kejahilan umat dan ketiga, keegoan para pemimpin politik, selain gerakan Islam seperti PAS juga mempunyai ‘redline’ (sempadan) seperti tidak menyokong DAP atau mengambil keterlibatan musuh untuk kerjasama. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -