GOMBAK: Kepimpinan ulama yang diasaskan dalam PAS pada tahun 1982 telah membezakan parti ini daripada Umno apabila mengubah pendekatan daripada perjuangan Melayu kepada perjuangan Islam.
Pengarah Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIRD), Dr Mohd Fadli Ghani berkata, daripada zaman awal PAS, parti ini berjuang mempertahankan survival politik Melayu dan orang Melayu.
“Kebudayaan Melayu, Bahasa Melayu, semua sekali, kenapa? Melayulah bangsa yang beragama Islam. Jadi semua agenda politik ni atas nama Melayu. Atas asas orang Melayu beragama Islam.
“(Tetapi) Selepas (tragedi) 13 Mei (1969), pemimpin PAS melihat satu benda (perspektif) lain. Bahawa sebenarnya pengalaman kita (PAS) berada dalam Barisan Nasional (BN) kita beri kepada BN, Umno jadi kerajaan semula.
“Kita pun rasa bahawa kalau Umno insaf dan Melayu boleh ‘survive’ Islam akan untung,” ujarnya membentangkan perkara itu pada Konvensyen Fiqh Al-Wahdah yang diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini kelmarin.
Bagaimanapun menurut beliau, orang PAS mula membincangkan bahawa parti ini tidak boleh lagi berjuang untuk majukan Melayu, sedangkan Islam belum tentu maju, sebaliknya jika Islam maju, orang Melayu juga akan maju.
“Ini idea orang PAS tahun 1980-an. Kerana kita lihat pengalaman, Melayu pernah bangkit sebagai kuasa politik, (tapi) Islam mundur kerana pendekatan Umno itu. Selepas 30 tahun Umno berpecah besar-besaran kepada Semangat 46, PKR, BERSATU.
“Kita pun ubah semula strategi dalam Muafakat Nasional. Satukan orang Melayu untuk kekuatan politik orang Islam. Balik strategi tahun 1950-an,” ujarnya menegaskan pentingnya kesatuan Melayu atas perjuangan Islam.
Tetapi realiti dihadapi katanya, orang Melayu sekarang ini sedang menghadapi perpecahan politik yang dahulunya ada PAS dan Umno, tetapi kini sudah ada beberapa lagi parti politik melibatkan orang Melayu.
Dr Fadli mengajak supaya belajar dari pengalaman Indonesia yang mempunyai jumlah orang Islam seramai lebih 80 peratus, tetapi tidak ada satupun parti orang Islam di negara itu layak menamakan calon untuk jawatan Presiden.
Menurutnya, ada enam parti orang Islam di negara itu, tetapi tidak boleh duduk semeja menyebabkan orang Islam di Indonesia tidak ada kekuatan politik, sebaliknya negara ditentukan oleh elit politik bukan Islam.
Beliau berpandangan, Malaysia juga sedang menuju ke arah perkara dilalui Indonesia itu disebabkan wujud kepentingan politik untuk kuasa dalam kalangan pemimpin Melayu dan mereka bersama dengan orang bukan Islam yang anti-Melayu.
Perpecahan itulah tegasnya, akan menyebabkan orang Melayu-Islam di negara ini kehilangan kuasa politik pada masa akan datang, selain berlakunya penularan fahaman liberal dalam masyarakat dan politik.
“Ketiga kemunculan politik ‘evangelism’. Golongan non-Muslim yang terpengaruh dengan pendekatan-pendekatan politik agama yang bukan-Islam,” ujarnya menyenaraikan contoh di India, Sudan, Etopia dan Malaysia sendiri.
Katanya, gagasan-gagasan politik agama bukan Islam tersebut sedang dikembangkan di negara ini dengan turut menyatakan bahawa zaman ketuanan politik Melayu sudah berakhir tetapi digantikan dengan kononnya Ketuanan Malaysia.
“Tiga perkara ini ‘evangelism’, Malaysian Malaysia dan politik tanpa ketuanan Melayu inilah ancaman besar kepada survival politik kita pada masa akan datang. Kemudian kesan-kesan daripada hal-hal tersebut kita boleh melihat kemerosotan pengaruh politik orang Melayu.
“Di Parlimen hari ini kita sudah tidak memiliki dua pertiga, bahkan nak dapat simple majority pun amat sukar. Pertama kerana jumlah orang bukan-Melayu sebagai Ahli Parlimen sudah bertambah dengan banyak.
“Yang kedua kerana orang Melayu itu sudah berpecah dalam banyak kelompok. Kemudian yang juga mungkin memberi kesan dalam masa terdekat ini ialah ‘gerrymandering’ (persempadanan semula kawasan pilihan raya).
“Dengan kuasa politik yang dipegang oleh DAP dan juga kawan-kawan dia hari ini dan untuk mereka mengekalkan survival PH (Pakatan Harapan) di Malaysia ini persempadanan semula merupakan strategi yang sangat penting,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024