Lebih 50,000 sertai Himpunan 100K Bela Palestin hari ini

Sebahagian daripada lebih 50,000 yang menyertai Himpunan 100K Bela Palestin di Kuala Lumpur pada hari ni, 4 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lebih 50,000 menyertai perarakan Himpunan 100K Bela Palestin yang telah diadakan di ibu kota, di sini, hari ini.

Orang ramai yang menyertai himpunan anjuran PAS itu telah berkumpul di tiga lokasi berbeza – di Bangunan Yayasan Selangor Bukit Bintang, Masjid Asy-Syakirin KLCC, dan Masjid Ibnu Mas’ud sebelum mula berarak berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak kira-kira pada jam 2 petang.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, himpunan itu telah diadakan bagi menyatakan sokongan berterusan rakyat Malaysia di atas segala penderitaan yang dialami rakyat Palestin.

“Kita tidak akan berhenti mengecam di atas kezaliman paling dahsyat dalam sejarah dunia.

“Tidak pernah ada sejarah bagaimana ribuan anak-anak kecil, wanita dibunuh dan rumah ibadah, hospital serta sekolah dihancurkan tanpa mempedulikan peraturan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kita sangat dukacita di atas bantuan berterusan Amerika Syarikat dan sekutunya yang terus memberi dana bagi membolehkan pihak Zionis bertindak zalim ke atas umat Islam. 

“Hari ini, Majlis Keselamatan (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) hanya menjadi majlis keselamatan bagi Yahudi Laknatullah,” tegasnya. 

Ini kerana menurut beliau, ia (Majlis Keselamatan PBB) tidak lagi menjaga keselamatan dan hak negara sebagaimana yang dituntut. 

“Mana pergi hak asasi manusia? Mana pergi pejuang-pejuang anak-anak kecil? Mana pergi pejuang-pejuang yang kononnya untuk menjaga nasib dan keharmonian dunia?” soalnya.

Himpunan itu turut dihadiri oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi serta mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS; Nadzir Helmi; Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam; dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.

Himpunan 100K Bela Palestin diadakan bagi menyemarakkan semula solidariti rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan yang masih dialami rakyat Palestin. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulikiflee)

Tidak ketinggalan hadir ialah Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Sementara, jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua dan aktivis, Hishamuddin Rais juga dilihat antara yang hadir dalam perhimpunan anjuran Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat ini.

Sepanjang perarakan tersebut berlangsung, peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira agama dan bangsa telah melaungkan kata-kata seperti ‘Hancur Israel’, ‘Hidup Palestin’ dan ‘Bangkit Islam’ sambil membawa bendera Palestin dan sepanduk yang menggesa agar kekejaman ke atas penduduk Palestin dihentikan segera.

Dalam pada itu, seramai 241 anggota polis dan keselamatan telah terlibat dalam menjaga keselamatan di sekitar lokasi himpunan berkenaan.

Perarakan dan himpunan yang mendapat kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berakhir kira-kira jam 4 petang tanpa sebarang provokasi dan kejadian tidak diingini, sebelum semua peserta bersurai. – HARAKAHDAILY 4/5/2024

- Advertisement -