Projek Rumah Budi 2.0 hampir siap

Rumah Budi 2.0 hampir siap dibina di Kampung Kubang Bemban, Naka, Kedah. (FOTO: LKKSPP/Mohd Shardi Kamaruzzaman)
- Advertisement -

NAKA: Projek Rumah Budi 2.0 di bawah Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSPP) dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid di Kampung Kubang Bemban telah hampir siap dibina.

Projek ini juga turut mendapat kerjasama dari LKKSP Kedah, LKKSP Padang Terap dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu Mohd Radzi Md Amin. 

- Advertisement -

Pengerusi LKKSPP, Dr Rosni Adam berkata, projek siri kedua ini merupakan kesinambungan projek membina rumah untuk membantu seorang ibu tunggal, Nur Azira Abdullah, 40, yang kini sedang menumpang di rumah kakaknya.

“Kita sedang membina rumah beliau yang merupakan ibu tunggal dan mempunyai enam orang anak dan hanya bekerja sebagai seorang penjual nasi lemak.

“Kita bantu untuk membina dan menyediakan penginapan untuk keluarga beliau,” katanya dalam satu kenyataan, harfi ini.

Rosni juga mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang yang turut bekerjasama bagi membantu untuk mencukupkan kos bayaran rumah tersebut.

“Sekarang ini kita masih lagi dalam pengumpulan dana untuk menyiapkan rumah ini, juga sumbangan daripada tuan-tuan memang sangat diperlukan.

“Insya-Allah sama-sama kita membantu untuk memberi senyuman kepada mereka dan anak-beranak,” ujarnya.

Sementara ahli jawatankuasa LKKSPP, Mohd Sharbi Kamaruzzaman, berkata status projek tersebut dijangka siap pada 18 Mei bersamaan 85 peratus pada masa kini.

Menurutnya, antara kerja yang belum selesai pada projek rumah tersebut adalah pintu, tingkap, lampu, kipas, meter air, meter elektrik dan jubin lantai.

Justeru, LKKSPP membuka peluang kepada semua untuk menyumbang bagi menyiapkan peringkat akhir Rumah Budi 2.0; yang mana, ujar beliau, keperluan dana yang diperlukan kini sebanyak RM33,000.

“Justeru, orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam 12113010026150 dengan rujukan ‘Rumah Budi’ atau hubungi hotline LKKSPP di talian 011 565 70500,” katanya.  – HARAKAHDAILY 3/5/2024

- Advertisement -