Kesamarataan yang bertukar menjadi penindasan

- Advertisement -

SEBAGAI seorang yang berakal sihat, kita wajar meragui laungan liberalisme. Ini kerana asas takrifnya masih longgar dan boleh berubah-ubah. Bila tiada kekuatan, mereka takrifkan sebagai bebas meneroka tanah, bila ada kuasa bertukar menjadi kuasa mutlak (absolutisme) yang menyebabkan kuku besi.

- Advertisement -

Kita juga wajar meragui slogan Malaysian Malaysia, kesamarataan, negara bangsa dan sebagainya. Ia lebih dilihat satu retorik untuk membolehkan golongan minoriti menguasai golongan majoriti.

Mari sama-sama kita meneliti sejarah Yahudi, yang bermula dengan akar liberalisme, kemudian bertukar menjadi penindasan dan kekejaman.

Dalam sejarah kemunculan Zionis, kita dapati ia bermula dengan akar liberalisme yang mendalam. Khususnya tokoh awal mereka iaitu Theodor Herzl. Beliau telah menulis sebuah novel bertajuk Altneuland (Old-New Land) bagi menggambarkan aspirasi beliau.

Beliau menggambarkan bahawa cita-cita penubuhan negara Yahudi merupakan sebuah harapan hak asasi manusia, dan kesaksamaan. Katanya, orang Yahudi berhak mendapat negara kerana kita sama dengan bangsa lain yang mempunyai bangsa sendiri.

Katanya lagi, jika orang Yahudi dapat negara, diwajibkan untuk mematuhi prinsip yang sama yang mengikat setiap negara lain, iaitu peraturan moral sejagat yang diperoleh daripada cita-cita hak asasi manusia, demokrasi, dan kesaksamaan.

Pada 1948, mereka isytiharkan mereka itu ‘merdeka’. Sebagai gambaran orang Yahudi sudah bebas (liberal) sebagai sebuah negara. Namun, kefahaman liberalisme terhadap erti kebebasan bertukar menjadi projek penindasan.

Antaranya peristiwa Nakba. Orang-orang Palestin yang kekal di Israel diberi kewarganegaraan Israel. Tetapi mereka diletakkan di bawah rejim tentera yang berasingan. Tidak sama rata sepertimana yang mereka laungkan sebelum itu. Hal ini berlanjutan sehingga tahun 1966. 

Tak lama kemudian, Israel telah menguasai lebih ramai penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat, mengenakan rejim tentera baru ke atas penduduk Arab. Kali ini lebih parah. Orang asal Palestin telah dinafikan hak kerakyatan negara haram Israel, dianggap sebagai pendatang.

Pada 2014, New York Times menerbitkan sebuah esei yang mengisytiharkan “the end of liberal Zionism”. Pengarangnya Anthony Lerman berkata “But everything liberal Zionists stand for is now in doubt”

Pada tahun 2020, intelektual Yahudi Amerika bernama Peter Beinart mengisytiharkan bahawa

“the project to which liberal Zionists like myself have devoted ourselves for decades — a state for Palestinians separated from a state for Jews — has failed”

Projek yang Zionis liberal seperti saya telah mengabdikan diri selama beberapa dekad – sebuah negara untuk rakyat Palestin yang dipisahkan dari negara untuk orang Yahudi – telah gagal.

USTAZ MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMED FADZIL
Perak Darul Ridzuan – HARAKAHDAILY 3/5/2024

- Advertisement -