Berikan ruang, pilihan tersendiri kepada media

Nadzir Helmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Setelah sekian lama perjuangan kebebasan bersuara wujud, seharusnya mana-mana media perlu diberi ruang dan pilihan tersendiri untuk menjadi lapangan penerangan yang bebas dalam menyampaikan hasrat, keluhan mahupun penghargaan sesuatu organisasi terhadap satu organisasi yang lain.”

Itu penegasan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi yang yang mengucapkan Selamat Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2024 yang disambut pada hari ini (3 Mei) kepada semua pengamal media, khususnya di Malaysia.

- Advertisement -

Beliau berkata, genap 30 tahun sambutan ini diraikan bagi membuka peluang kepada seluruh pengamal media untuk bersuara dalam saluran media bermula sejak 3 Mei 1994 setelah diputuskan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, ujar beliau, kini perkara sebaliknya berlaku di Malaysia apabila media umpama telah disekat daripada bersuara dengan wujudnya Kod Etika Kewartawanan.

“Apa yang berlaku sekarang, seolah-olah sebarang komen negatif mahupun cadangan daripada pihak luar kerajaan terus di’ghaib’kan dari platform media.

“Amalan ini seolah-olah membuktikan Kerajaan Madani melanggar fitrah ‘Hari Kebebasan Akhbar Sedunia’ sekali gus memperlihatkan sikap anti teguran serta ‘manja’ dan ini jauh lebih teruk berbanding semasa kerajaan terdahulu,” tegasnya.

Beliau menyatakan bahawa terkini laporan Indeks Kebebasan Media Dunia (WPFI) 2024 menunjukkan Malaysia memperoleh skor 52.07.

“Ini menjadikan kedudukan negara ini jatuh teruk sebanyak 34 anak tangga ke kedudukan ke-107 berbanding 73 pada tahun yang lalu.

“Justeru, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2024, ayuh kita doakan semoga ‘penyakit’ ini ‘sembuh’ seterusnya menjadikan bumi Malaysia serta pengamal media bebas dalam menyampaikan berita sama ada di media cetak mahupun media sosial,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2024

- Advertisement -