‘Kenaikan gaji penjawat awam tertinggi 13% satu pembohongan’

- Advertisement -

HULU SELANGOR:Dakwaan kenaikan tangga gaji penjawat awam tertinggi sebanyak 13 peratus seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam adalah satu pembohongan.

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, kenaikan tertinggi  gaji penjawat awam yang pernah dilaksanakan di negara ini  adalah ketika zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2008. 

- Advertisement -

“Ketika Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri, tangga gaji penjawat awam yang dinaikkan adalah sebanyak 35 peratus.

“Jadi, ini (kenyataan bahawa kenaikan 13% adalah yang tertinggi) adalah satu pembohongan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim kepada rakyat Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar usai mengadakan perjumpaan bagi Mesyuarat Gerak Kerja Pemuda PN bertempat di Bilik Gerakan Utama PN Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB), hari ini.

Tambah beliau, ia diburukkan lagi dengan janji Perdana Menteri mengenai kos sara hidup yang masih tidak dapat ditunaikan sekaligus menambah beban kepada rakyat. 

“Dalam parlimen baru-baru ini, beliau (Anwar) kata segala cukai yang dikenakan oleh kerajaan tidak akan meningkatkan kos barangan asas.

“Ini juga satu pembohongan. Jabatan Statistik Negara minggu ini telah menunjukkan bahawa indeks kos pengeluaran barang-barang asas telah meningkat,” tegasnya. 

Perkara ini menurutnya, akan menyebabkan harga barang juga akan meningkat pada bulan-bulan mendatang. 

“Ini belum lagi kita kira kesan penarikan subsidi petrol yang bakal dibuat tak lama lagi.

“Sebab itulah kerajaan beria-ia mahu sistem Pangkalan Data Utama (PADU) digunakan oleh rakyat, sebab mereka mahu cepat-cepat batalkan subsidi dan dibuat secara bersasar,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/5/2024

- Advertisement -