Peluang pekerjaan berkualiti makin kurang di era Madani

MIER lapor kadar pengangguran kini mencecah 11.9 peratus

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Kerajaan Persekutuan ketika ini berdepan defisit kepercayaan daripada pelbagai pihak berikutan dasar dan pendirian semakin lemah hingga menyebabkan masa depan ekonomi menjadi gelap.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bukan sahaja ramai pelabur asing sudah meninggalkan negara, malah dapat disaksikan nilai Ringgit juga semakin merudum.

Selain itu katanya, kadar pengangguran juga telah meningkat berbanding kebiasaan sebelum ini antara 3 hingga 4 peratus, tetapi terkini adalah 11.9 peratus menurut laporan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

“Anak-anak muda kita tidak dapat peluang pekerjaan yang baik. Kita masih lagi bergantung kepada tenaga pekerja asing yang dilambak di Kuala Kubu Bharu, di Hulu Selangor dan seluruh negeri Selangor.

“Bagaimana peluang kepada anak-anak tempatan sedangkan anak-anak kita sama ada orang Melayu, orang Cina dan orang India, mereka ada kemampuan, mereka ada keupayaan, mereka ada kapasiti.

“Tetapi mereka tidak mendapat peluang daripada dasar kerajaan yang ada hari ini,” ujarnya pada Ceramah Umum PN sempena PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu di Jalan Pahang, di sini malam tadi.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor ketika ini disifatkannya gagal untuk menyediakan dasar yang dapat mengangkat martabat ummah apabila tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan berkualiti untuk anak muda.

Sehubungan itu beliau mengajak pengundi tempatan untuk melakukan perubahan dengan memberi undi kepada PN memandangkan negeri yang berbangga dengan rizab besar itu juga gagal memberi manfaat kepada rakyatnya.

Bekas Menteri Besar Selangor itu mengimbas pentadbirannya dahulu di mana memberikan air percuma dan bantuan RM2,500 kepada waris yang kematian ahli keluarga, penghapusan cukai dan pemberian geran tanah FELDA.

Namun kemuka beliau, terjadi sebaliknya di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) kini yang bukan sahaja tidak membantu rakyat, bahkan menyebabkan pula kehidupan mereka terbeban. – HARAKAHDAILY 1/5/2024

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!